"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Sunday, December 07, 2008

PAS rakam takziah, desak batalkan pembangunan lereng bukit

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Hrkh) - PAS merakam ucapan takziah kepada keluarga empat mangsa yang terkorban termasuk melahirkan rasa dukacita atas kejadian malang yang menimpa ribuan penduduk yang masih terperangkap akibat tanah runtuh di Bukit Antarabangsa jam 4 pagi semalam.

Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar yang dhubungi Harakahdaily malam semalam menyatakan negara khususnya para penduduk sekitarnya merasa terkejut dengan kejadian tersebut yang mana pernah menimpa kawasan sekitar itu 15 tahun lalu.

Pada 11 Dis 1993 berlaku runtuhan tiga blok 12 tingkat apartmen Highland Towers sehingga mengorbankan 48 nyawa iaitu kira-kira 1.5 kilometer dari tempat berlaku runtuhan semalam yang menyebabkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama tertimbus mengorbankan 4 orang setakat ini.

Kamaruddin meminta semua pihak bersabar dan mematuhi langkah dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa bagi memastikan 3,000 ke 5,000 penduduk yang masih terperangkap di situ selamat dikeluarkan daripada kawasan terbabit.

"Saya harap semua penduduk senantiasa berdoa, dan bersabar dengan ujian getir tambahan pula ada kalangan umat Islam yang sedang dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha esok.

"Kita harap usaha dapat ditingkatkan untuk kerja-kerja menyelamat dan berwaspada dalam usaha menyelamat kerana kita tidak mahu kejadian tidak diingini menimpa yang lain pula," katanya ketika dihubungi Harakahdaily 11.00 malam tadi.

Dalam pada itu, beliau mendesak agar pihak kerajaaan membatalkan projek pembangunan di lereng bukit dengan serta-merta termasuklah permohonan yang sedang diproses untuk diluluskan.

"Sudah banyak iktibar daripada siri-siri yang berlaku sejak akhir ini seperti di Ulu Yam, Damansara dan lain-lain. Kita mahu kerajaan ambil keputusan drastik supaya tidak ada lagi nyawa yang terkorban.

"Walaupun melibatkan wang atau kerugian yang besar namun yang paling penting diutamakan ialah keselamatan dan nyawa penduduk," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Dalam kejadian itu empat yang terkorban antaranya dikenali sebagai sebagai Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20, Dr N. Yogeswari, 40 dan Eng Yee Peng, 30.

Menurut agensi berita mangsa yang mengalami kecederaan menerima rawatan awal di surau Addinniah di Bukit Antarabangsa sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan dengan menggunakan tidak kurang daripada 12 ambulans.

Banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah, demikian menurut jurucakap bomba dan penyelamat yang berada di tempat kejadian.

Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Dato' Mohamed Thajudeen Abdul Wahab. Bagaimanapun beliau sekelurga berjaya menyelamatkan diri.

Menurut bomba dan penyelamat, tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah.

Pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang giat menjalankan kerja menyelamat.

Kejadian tanah runtuh itu mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus-ratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.

Mereka yang terperangkap dan juga pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif memandangkan jalan utama ke kawasan itu tidak dapat dilalui.

No comments: