Tun Dr Mahathir Mohamad gembira dengan keputusan kerajaan untuk menangguhkan penswastaan Institut Jantung Negara (IJN).
Mantan Perdana Menteri itu berkata beliau tidak fikir penswastaan itu adalah satu idea yang baik memandangkan institut itu "adalah badan amal yang unik" berdasarkan kepada prestasinya yang cemerlang setakat ini.
"Setakat ini tiada aduan mengenai IJN. Mereka telah menunjukkan prestasi cemerlang. Berkhidmat kepada yang kaya dan miskin. Semua orang telah mendapat manfaat daripada IJN termasuk saya sendiri," katanya kepada pemberita selepas menerima RM150,000 dari Kementerian bagi pihak Yayasan Kuala Lumpur untuk Menjenayahkan Perang, yang dipengerusikannya.
Menteri Luar Datuk Seri Rais Yatim menyampaikan cek itu kepada Dr Mahathir di Yayasan Al-Bukhary, di sini, Jumaat.
Dr Mahathir berkata kerajaan hanya perlu menswastakan apa yang dimiliki hanya jika terdapat sebab yang baik "jika tidak ianya tidak sihat."
Sime Darby dilaporkan membuat cadangan kepada kerajaan untuk membeli kepentingan dalam IJN Holdings Sdn Bhd, pengendali IJN.
Pada masa ini, IJN merupakan pusat perubatan jantung terkemuka di rantau ini dengan 99.99 peratus dimiliki Kementerian Kewangan.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini perkara itu telah ditangguhkan hari ini sehingga kajian mendalam dijalankan oleh kementerian berkaitan.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat mendedahkan senarai calon-calon Umno yang terbabit dalam politik wang berikutan kekurangan bukti.
"Saya perlu meneliti dakwaan itu. Banyak sangat dengar cakap. Mereka (perwakilan) boleh beri saya nama-nama itu tetapi tiada maklumat konkrit seperti di mana, berapa banyak dan lain-lain. Kita perlukan mereka yang berani untuk tampil dan mendedahkan. Setengahnya mengadu tetapi mereka tidak begitu berani untuk mendedahkan pesalah itu," katanya.
Bulan lepas, Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno telah berkata bahawa beliau akan mendedahkan nama-nama calon yang terbabit dalam politik wang menjelang pemilihan parti yang dijadual diadakan Mac tahun depan.
Katanya Umno, sebagai tulang belakang Barisan Nasional, boleh mewujudkan beberapa lembaga atau jawatankuasa untuk mengekang politik wang tetapi ia tidak akan berguna jika tiada "saksi yang berani untuk mendedahkan maklumat mengenai kesalahan itu".
"Kita perlu tangkap pesalah itu dan ia perlu dibuat tanpa keraguan yang munasabah. Kita tidak mahu mereka yang tidak bersalah pula dituduh," katanya.
Bercakap mengenai topik lain, bekas perdana menteri itu juga berkata banyak contoh di mana Majlis Peguam secara tidak langsung melobi untuk orang-orang tertentu untuk dilantik sebagai hakim.
"Sekarang, mereka meminta mereka pilih hakim. Ini tidak boleh kerana sekali orang yang mereka pilih menjadi hakim, seseorang itu secara langsung akan terhutang budi dengan Majlis Peguam dan ini akan membawa kepada campur tangan dalam melaksanakan keadilan," katanya.
Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta kerajaan supaya tidak tergesa-gesa membenarkan sektor swasta untuk membeli kepentingan di dalam IJN.
Dalam menyambut baik keputusan menangguhkan cadangan Sime Darby Bhd mengambilalih kepentingan IJN Holdings Sdn Bhd, pengendali IJN, Presiden MMA Datuk Dr Khoo Kah Lin berkata kerajaan perlu mendapatkan maklumbalas dan pandangan daripada orang ramai dan badan bukan kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan.
"Kami bimbang apabila syarikat swasta ambil alih, kebajikan golongan miskin akan diketepikan dan mereka mungkin tidak mendapat rawatan perubatan pada kadar rendah.
"Kami prihatin kerana pada akhirnya dalam apa jua keadaan, dalam urusan ini pokoknya adalah untuk membuat untung kerana mereka perlu menjawab kepada pemegang saham.. mereka tidak boleh mencatat kerugian.
"IJN adalah mutiara bagi pesakit-pesakit jantung di negara ini.. ianya senang didekati pesakit-pesakit jantung yang miskin," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menyambut baik tindakan kerajaan itu mahu semua cadangan membenarkan konglomerat Sime Darby Bhd untuk membeli 51 peratus saham dalam IJN itu, dibatalkan.
Setiausaha Agungnya G. Rajasekaran, berkata IJN adalah sebuah institusi rawatan kesihatan yang penting dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengekalkannya demi kepentingan orang ramai terutama golongan miskin.
Dalam perkembangan yang sama, Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan (TWU) yang turut mengalu-alukan langkah penangguhan itu berkata keseluruhan isu mengenai penjualan kepentingan IJN oleh sektor swasta perlu dihentikan terus.
Setiausaha Agungnya Datuk Zainal Rampak berkata bagi TWU, IJN bukan sesuatu yang boleh ditolak ansur dan tidak boleh dibiar terlepas kepada pihak swasta kerana ia akan menafikan niat murni bagi penubuhan institut itu, katanya kepada Bernama.
"IJN adalah ikon rakyat Malaysia dan ia perlu dikekalkan begitu," katanya.
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Saturday, December 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Ini satu tindakan bijak kerajaan. IJN patut dikekalkan kerana ini dapat meringankan beban rakyat.
Post a Comment