Begini ceritanya:
Ketika itu piliharaya kecil di Lunas, ini lama dahulu. Saya ke sana untuk membantu kawan seorang wartawan BBC membuat laporan terus menerus – Lunas/London. Di Lunas kami bertemu.
Dia baru sahaja meninggalkan sekolah. Saya tidak tahu latar belakangnya. Tapi pastilah dari keluarga yang bukan berada. Ketika itu saya masih tidak memiliki talipon tangan. Jadi hilang bagitu sahaja pertemuan kami di Lunas.
Kemudian apabila saya memiliki talipon tangan - kami berhubung. Saya diberitahu yang dia kini sedang bekerja sebagai buruh di sebuah kilang di Pulau Pinang. Jauh juga perjalanan anak muda ini dari Kuala Muda ke Pulau Pinang.
Dia selalu meghantar nota-nota kecil tentang berita-berita ceramah di Kedah atau sebelah Utara. Kebelakangan ini di akhir nota pasti akan tertulis Takbir! Dari nota ini saya amat yakin yang kenalan saya ini telah menjadi ahli sebuah parti politik.
Dua tahun dahulu saya ke Kepala Batas untuk membuat sebuah dokumentri. Kami berjumpa lagi. Tetapi saya perhatikan dia agak kurang selesa dengan susuk dan siswa-siswa di sekeliling saya. Akhirnya kami putus hubungan kerana namanya perlu di keluarkan dari talipon cap ayam saya yang hanya sanggup menerima 100 nama.
Berapa bulan yang lalu dia menghantar nota kembali. Awalnya saya bertanya – ini siapa? Dia mengenalkan diri lagi. Saya amat segan kerana namanya telah ‘terdelete’. Selalunya orang akan memberi alasan yang taliponnya hilang, di curi, kad sim masuk air dan dan dan. Saya hanya nyatakan yang namanya tidak tersenarai lagi tapi di tulis dalm buku talipon. Ini jawapan jujur.
Semenjak dari itu saya selalu mendapat berita tentang ceramah-ceramah besar di Kedah dan sekitar. Anak muda ini cukup aktif datang mendengar ceramah. Rasa saya dia memiliki motorsikal untuk senang begerak.
Ketika PROTES di Kelana Jaya dahulu anak muda ini datang dengan bas rombongan. Dia datang ke gigi pentas tetapi kami tidak sempat berbual kerana saya sibuk dengan itu dan ini. Saya juga tidak tahu dimana dia menginap pada malam itu.
Apabila pilihanraya kecil P44 di umum dia menghantar nota bertanya khabar. Lalu kami berjanji akan berjumpa di Permatang Pauh. Bayangkan betapa susahnya untuk bertemu dengan kawan lama di Permatang Pauh. Saya ternanti-nanti tapi tidak ada berita darinya lagi. Saya tidak pula tahu dia berada di kawasan mana di Permatang Pauh.
Tiga hari kemudian dia menghantar nota kembali. Kami berjanji untuk bertemu di sebelah Masjid Kubang Semang sesudah saya mendengar ucapan Imam Romlang. Lewat malam, ketika dia sampai dengan kawanya , saya sedang berlabon santai dengan kumpulan anak-anak muda Pemantau dari KL.
Nasib baik kami mendapat meja dan kerusi. Lalu kami bersembang. Dia tidak menghubungi saya tiga hari dulu kerana kreditnya sudah habis. Baru saya sedar kenapa kami terputus hubungan.
Kemudian saya bertanya apakah dia di Ipoh minggu lalu. Tidak. Dia hanya ahli biasa sahaja. Bila saya tanya pandangan tentang Hadi hendak jadi PM , dia pun tidak tahu. Dia bukan ‘orang penting’ katanya. Dia hanya penyokong biasa.
Sekarang dia menggangur setelah bengkel bapa saudaranya jatuh muflis. Kawan sebayanya masih bernasib baik – dia memburuh sebagi kuli kontrek. Mereka tidak seperti saya menghisap rokok dari kotak. Mereka berdua berkongsi tembakau dan daun nipah. Saya juga tidak tahu sama ada motosikalnya ada cukai jalan atau tidak. Apa yang saya tahu dia hanya memasukan 10 ringgit tambahan untuk talipon agar dia dapat menghubungi saya.
Nah! Kenalan saya ini adalah orang-orang yang setia dengan perjuangan Reformasi. Mereka menaruh harapan kepada Anwar Ibrahim untuk membuat perubahan. Mereka tidak ambil kira sangat PKR atau PAS atau DAP. Mereka tidak ada pangkat atau kedudukan dalam parti. Mereka tidak ingin jadi ketua bahagian atau YB.
Mereka tidak pernah bermimpi untuk mendapat ‘pink form’ atau untuk mendapat kontrek untuk membuat lebuh raya. Apa yang pentng ialah satu perubahan berlaku dengan harapan hidup mereka akan lebih selesa.
Sebelum kami beredar kami berjanji untuk jumpa kembali. Tidak tahu dimana. Hanya berjanji. Kemudian saya tanya dia tentang intenet. ‘ Dulu ada – sekarang tak pernah tengok lagi..’
Inilah Cerita ‘dia’ saya tulis ini. Dia sendiri pun tidak akan tahu kerana kami ini hanya orang-orang biasa.
-Tukar Tiub
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment