"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, September 24, 2008

Mahkamah Risau Dengan Sijil Yang Ditandatangani Oleh Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen risau kerana sijil untuk memindahkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi ditandatangani oleh Tan Sri Abdul Gani Patail disebalik kenyataan Perdana Menteri yang memberikan jaminan Peguam Negara tidak akan terlibat dalam kes itu.

Hakim S.M.Komathy Suppiah yang menyuarakan kebimbangannya itu hari ini, menyatakan ia akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman.

Abdul Gani sedang disiasat oleh badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh Anwar atas dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian "mata hitam" Anwar pada 1998.

Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, ketua unit pendakwaan di Pejabat Peguam Negara, menjelaskan dalam kapasitinya sebagai peguam negara, adalah menjadi tugas Abdul Gani untuk menandatangani sijil itu sebagai satu prosedur pentadbiran.

Komathy: Kenapa anda fikir Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) berkata demikian? (kenyataan yang Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes Anwar)

Mohamed Yusof: Untuk memastikan tidak berlaku berat sebelah terhadap Anwar yang membuat laporan kepada BPR terhadap Abdul Gani.

Mohamed Yusof berhujah perdana menteri boleh kata apa sahaja yang beliau mahu tetapi akhirnya mahkamah yang perlu membuat keputusan mengikut undang-undang.

Komathy menerima penjelasan Mohamed Yusof.

Peguam bela utama Anwar, Sulaiman Abdullah, memberitahu mahkamah yang orang ramai telah terkeliru dengan kenyataan perdana menteri yang menyatakan Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes itu namun Abdul Gani telah menandatangani sijil itu.

"Perdana menteri telah mengeluarkan kenyataan tanpa merundingi peguam negara. Kenapa nak mengelirukan orang ramai jika peguam negara tidak terlibat.

"Pendirian kami ialah Abdul Gani tidak patut mempunyai sebarang peranan dalam kes ini. Beliau tidak sepatutnya menggunakan atau menandatangani sijil itu. Inilah intipati bantahan kami," kata Sulaiman.

Beliau berkata pada peringkat ini apa yang pembelaan ingin katakan ialah Abdul Gani tidak boleh menandatangani sijil itu, menjadikannya (sijil) tidak sah.

Anwar, 60, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lepas.

Jika sabit kesalahan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan anggota Parlimen Permatang Pauh itu, menghadapi hukum penjara maksimum 20 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan tetapi tidak akan menghadapi hukuman sebat kerana beliau sudah berumur lebih 50 tahun.

Selain Sulaiman, Anwar juga diwakili R.Sivarasa, Sankara N.Nair, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada Mohamed Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Farhan Read dan Shamsul Sulaiman.

Sementara itu, Mohamed Yusof mengemukakan bantahan awal, menyatakan Mahkamah Sesyen mempunyai mandat untuk memindahkan kes Anwar ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja sijil pemindahan dikeluarkan oleh pihak pendakwaan.

Katanya mengikut Seksyen 418A (3) Kanun Acara Jenayah, Mahkamah Sesyen tiada pilihan lain tetapi melaksanakan pemindahkan itu selepas menyerahkan sijil itu.

Mohamed Yusof berkata Mahkamah Sesyen, sebagai mahkamah lebih rendah, tidak mempunyai sebarang budi bicara untuk menafikan pemindahan itu.

"Dalam mengemukakan bantahan terhadap sijil yang dikeluarkan oleh pendakwa raya, peguam yang bijaksana yang mewakili Anwar adalah sama ada memohon perisytiharan bahawa sijil itu tidak sah atau menolak keputusan pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi," katanya dan menurutnya perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk mendengar atau diputuskan.

Sulaiman berhujah pendakwaan telah gagal memberikan sebarang alasan yang kukuh bagi kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Katanya daripada penyelidikan pihak pembelaan, kes-kes yang dilaporkan berkaitan kesalahan liwat di negara ini telah dikendalikan di Mahkamah Sesyen.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak di mahkamah terbuka, Komathy menangguhkan prosiding dan memanggil Mohamed Yusof dan Sulaiman ke kamarnya.

Kira-kira 30 minit kemudian, Komathy keluar dan memaklumkan semua yang hadir yang beliau perlukan masa untuk meneliti hujahan dan pihak berkuasa yang dirujuk oleh kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan.

Beliau kemudian menetapkan 7 Okt untuk menyampaikan keputusannya.

2 comments:

perfectwater75 said...

Salam!

Hakim yang berani!

thx!

Anonymous said...

Pak brahim berharap dan berdoa semoga Yang Arif Hakim Komathy bersikap profesional. Jagalah integriti kehakiman agar dihormati dan diingati sebagai hakim yang arif.

Jangan teladani hakim HACKS yang tak releven.