Seorang pengawal keselamatan merayu bantuan kerajaan dan badan berkaitan bagi menyelamatkan isterinya yang kini meringkuk di sebuah penjara di Pakistan akibat terperdaya dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Jaafar Noor, 43, berkata isterinya, Siti Aishah Hamid, 43, yang didakwanya menghidap penyakit tulang rapuh (SLE), telah ditahan selama lapan bulan selepas ditangkap kerana dikatakan cuba membawa keluar dadah jenis heroin seberat 950 gram dari Pakistan ke Malaysia.
"Saya sedih mengenangkan nasib isteri saya, sebelum ini ada beberapa pihak berjanji untuk membantu kami tetapi sehingga kini masih tiada jawapan,"katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Setiausaha Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pergerakan Umno Malaysia, Datuk Muhd Khairun Aseh dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bayan Baru Norman Zahalan.
Jaafar berkata kali terakhir mangsa menghubungi beliau adalah ketika tiba di Singapura pada pagi 10 April.
Katanya mangsa dikatakan terpedaya dengan taktik terbaru sindiket berkenaan yang menawarkan hadiah berupa pakej melancong ke Singapura menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 7 April lepas.
Selepas itu pada 27 April lepas pula, Jaafar menerima satu panggilan dari pegawai Konsulat Malaysia di Karachi, Gaafri Khalid Abdul Rahman yang memaklumkan isterinya ditahan di penjara kerana cuba membawa keluar dadah dari Pakistan ke Malaysia.
Jaafar yang tinggal di rumah ibunya di Kampung Permatang Damar Laut di sini berkata sepanjang tempoh lapan bulan itu, isterinya ada beberapa kali menghubunginya dan memaklumkan yang beliau berada dalam keadaan sihat di sana.
"Rasanya lebih 10 kali dia telefon dan setiap kali telefon dia akan merayu kepada saya supaya membantunya membawa dia pulang kerana dia terlalu rindukan keluarga di sini. Saya yakin dia tidak bersalah dan dianiaya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, Muhd Khairun yang juga peguam bela berkata pihaknya akan menghubungi Kementerian Luar untuk mengetahui perkembangan sebenar berhubung kes itu.
"Kita tidak tahu apa perkembangan kes itu, apa yang kita tahu Siti Aishah masih belum didakwa dan masih meringkuk di penjara dan Pemuda Umno akan sedaya upaya membantu beliau. Kita akan hubungi pihak di sana untuk mengetahui perkembangan kes itu," katanya.
Pemuda Umno Bayan Baru hari ini melancarkan Tabung Bantuan untuk mengumpul dana bagi membantu Jaafar ke Pakistan dan melantik peguam di sana untuk mewakili Siti Aishah.
Pemuda Umno Bayan Baru menyumbangkan RM1,000 dan orang ramai yang ingin menderma boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam, 07034010006312 atau menghubungi Norman di talian 016-3334411.
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment