"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Sunday, July 27, 2008

Benarkah isu Mercedes Terengganu selesai…?

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan isu pembelian 14 buah kereta Mercedes Benz oleh kerajaan negeri Terengganu telah selesai. Menteri Besar negeri itu, Datuk Ahmad Said juga kata isu itu sudah selesai.


Cuma maksud penyelesaian mereka tidak sama. Pak Lah dan Najib kata kabinet tetap melarang mana-mana negeri menggunakan Mercedes Benz sebagai kereta rasmi dan 14 buah kereta yang telah dibeli itu hendaklah digunakan untuk tetamu rasmi sahaja. Ahmad pula kata pihaknya telah mendapat lampu hijau untuk menggunakannya.

Timbul persoalan, yang mana satu? Namun, semalam, Pak Lah menegaskan keputusan muktamadnya iaitu kereta itu untuk tetamu sahaja!

Apabila sedemikian muktamadnya, timbul pula persoalan lain iaitu adakah Terengganu memerlukan 14 kereta untuk membawa tetamu? Banyak sangatkah tetamu-temau Terengganu sehingga 14 kereta dikhaskan untuk mereka?

Persoalan juga timbul tetamu mana atau siapakah yang layak dipelawa menaiki kenderaan tersebut. Bolehkah pemimpin negeri lain yang berkunjung ke Terenggau menggunakan kenderaan itu dan jika tidak, berapa ramai pula ketua Negara atau tetamu istimewa yang akan menggunakannya?

Takut nanti, dalam sebulan, hanya satu kereta tetamu yang bergerak dan dalam setahun masih ada dua lagi yang tidak berganjak. Bukankah ini juga membazir namanya. Dan pembaziran itu bermakna wang rakyat telah berkurangan kerana RM3.43 juta telah dibelanjakan untuk membeli 14 kereta tersebut.

Dikhuatiri nanti, kereta-kereta berkenaan akan menjadi besi buruk sahaja kerana paling banyak, Terengganu memerlukan dua kereta pelawat sahaja dan satu lagi bolehlah dijadikan kereta gentian. Ini bermakna, ada 11 buah lagi yang akan tersadai – kecualilah digunakan juga bertentangan dengan keputusan kerajaan persekutuan.

Sebagai jalan keluar, eloklah kerajaan persekutuan mengambil kereta tersebut dan mengembalikan wang rakyat Terenganu itu supaya ia boleh digunakan ke arah yang lebih bermanfaat dan tiada kontroversi.

Kerajaan Persekutuanlah yang mempunyai lebih banyak tetamu negara. Gunakan kereta-kereta berkenaan sebagai ganti kepada kereta sedia ada yang sudah sampai usianya untuk ditukarganti.

Tanpa bermaksud menunjukajar kerajaan, syor ini hanyalah sebagai langkah untuk mengelakkan pembaziran apabila kereta berharga RM3.43 juta tidak digunakan sepenuhnya.

Atau kereta-kereta berkenaan masih boleh dijual kepada umum kerana kerajaan negeri Terengganu membelinya tanpa perlu membayar cukai. Kerajaan boleh menjualnya kembali, dengan harga rendah, tetapi cukai jualan yang dikenakan oleh pihak kastam bolehlah digunakan untuk menampung kekurangan tersebut. Kaedah ini mungkin rumit, tetapi kita tetap percaya masih ada kaedah untuk menyelesaikannya.

Walau apapun penyelesaiannya, isu pembelian 14 buah Mercedes Benz oleh kerajaan Terengganu ini perlu terus disiasat selain dijadikan pengajaran. Perlu disiasat kerana kerajaan itu mendakwa kos senggaranya sangat mahal dan adalah lebih jimat jika menggunakan Mercedes Benz.

Perkembang-perkembangan seperti yang dilaporkan oleh pihak media, agak menarik juga untuk dikaji. Umpamanya, apabila dilaporkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memulakan siasatannya, tiba-tiba sahaja kos senggara berkurangan. Seorang kerani dipersalahkan kerana silap mengira sedangkan perkiraan itulah yang dijadikan justifikasi atau menghalalkan cara untuk membeli Mercedes Benz berkenanan.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusohpun telah melantik peguam untuk menangani kemelut berkenaan kerana kereta yang digunakannya juga tersenarai di antara yang paling tinggi kos senggaranya.

Proton pula mendedahkan bahawa kos senggara tahunan hanyalah RM2,300 dan Persatuan Proton Edar pula mempersoalkan kenapa kerajaan negeri tidak menggunakan kemudahan servis selepas jualan yang dijamin oleh pihak pengeluar.

Syarikat yang membuat kerja-kerja senggaraan itu pula mengakui menaikkan surcaj sebanyak 25% dengan alas an bayaran lambat diterima. Adakah sebarang peraturan yang membenarkan pertambahan surcaj berkenaan?

Jika tiada, kajian dan iasatan lanjut harus dilakukan untuk menentukan insiden ini tidak berlaku lagi.

Elok sangat BPR menjalankan siasatan menyeluruh kerana semua orang ingin tahu, apakah motif sebenar plot cerita yang berbelit-belit ini! - 27/7/2008


-AgendaDaily

No comments: