"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Sunday, July 27, 2008

UMNO sedia perluaskan perbincangan dengan PAS

"Pasal istilah pun takkan nak berbalah, asalkan kita dapat berbincang dan mencari kata sepakat atas isu untuk membantu kepentingan ummah dan negara".

Itu jawapan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ditanya para wartawan lepas satu majlis di Pekan Sabtu sama ada pertemuan kedua-dua parti itu atas nama muzakarah atau muqabalah.

B
agi Timbalan Perdana Menteri muzakarah antara UMNO dan PAS perlu diteruskan bagi mencari keputusan yang dilihat boleh memberi kebaikan kepada kepentingan ummah dan perpaduan kaum di negara ini.

Serentak dengan itu beliau membayangkan UMNO mengambil sikap terbuka dalam soal ini.Katanya jika PAS bersetuju untuk bermuzakarah, UMNO dan PAS boleh memperluaskan perbincangan terhadap perkara-perkara kepentingan negara yang difikirkan wajar.

"Eloklah muzakarah ini diteruskan, bukan sahaja perbincangan yang telah dibuat Presiden parti (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini), tapi kalau PAS bersetuju kita boleh perluaskan perbincangan (kepada) apa-apa yang wajar," katanya.


Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bahawa PAS bersedia bermuzakarah jika pertemuan kedua-dua parti itu dapat memberi kebaikan kepada rakyat dan agama.

Sementara itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ditemui para wartawan di Ipoh berkata parti itu menerima jemputan UMNO untuk mengadakan perjumpaan atau muqabalah kerana ia memberi peluang kepada PAS menyuarakan masalah yang perlu diselesaikan oleh kerajaan secara bersemuka.

"Umno telah membuka jalan kepada kita...ini satu anjakan yang berlaku kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membuka peluang kepada kita (PAS) kemukakan masalah yang perlu diselesaikan oleh kerajaan," katanya.

Pimpinan PAS dan Umno telah mengadakan perjumpaan sebanyak tiga selepas pilihan raya umum Mac lepas.

Hadi berkata antara pandangan yang telah dikemukakan PAS ialah supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) menghapuskan diskriminasi kepada negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Katanya, kerajaan pimpinan Abdullah juga diminta membuat perubahan dan pemulihan terhadap badan kehakiman.

Beliau berkata Perdana Menteri telah menyatakan kesediaan untuk melakukan perubahan yang perlu secara berperingkat sepertimana dicadangkan oleh PAS.

Abdul Hadi sementara itu mengulangi bahawa keputusan sama ada muqabalah antara PAS dan Umno akan diteruskan bergantung kepada persetujuan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pusat yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mesyuarat kepimpinan tertinggi PAS di Kota Baharu, Kelantan dua hari lepas bersetuju meneruskan pertemuan itu jika keadaan memerlukan demi menjaga kepentingan Islam dan perpaduan rakyat terutama di negeri-negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang.

Abdul Hadi turut menolak dakwaan berlakunya perpecahan di dalam PAS ekoran perjumpaan yang diadakan oleh pimpinan kedua-dua parti itu serta wujudnya rasa tidak selesa parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, perjumpaan dengan pimpinan BN bukan pertama kali diadakan kerana sebelum ini juga pemimpin PAS dan DAP pernah bersama-sama dengan kerajaan membincangkan isu negara termasuk dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen).

Dalam perkembangan berkaitan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu para wartawan di Putrajaya bahawa Perrdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menjelaskan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) berhubung pertemuan UMNO dan PAS.


Beliau berkata Abdullah dijangka memberi penjelasan berhubung perkara itu pada mesyuarat BN, bulan depan.

"Selepas mesyuarat pengurusan pada 6 Ogos, saya akan memanggil satu mesyuarat penuh Barisan Nasional, jadi di situ, Perdana Menteri akan datang untuk memberi penjelasan.

"Kita akan mendapatkan satu tarikh daripada Perdana Menteri, mungkin beberapa hari selepas mesyuarat pada 6 Ogos itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat cawangan Umno Matahari di Presint 8 Sabtu.

Ketika mengulas pertemuan di antara UMNO dan PAS yang akan diadakan lebih kerap bagi membincangkan isu berkaitan agama Islam dan kepentingan orang Melayu, Tengku Adnan berkata pertemuan itu tidak akan merosakkan hubungan di antara parti komponen BN.

Di Machang Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan supaya UMNO dan parti itu dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Beliau berkata Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan mana-mana parti politik yang inginkan kepada perjuangan sebenar.

"UMNO bubar PAS pun bubar, tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam," katanya kepada para wartawan selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan ke-37.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata UMNO tidak ada sebab untuk menolak dasar Islam yang dicadangkan oleh PAS melalui parti itu kerana Islam milik semua kaum termasuk bukan Melayu di negara ini.

"Kalau tidak kena dengan Islam di mana-mana, cuba beritahu dan kalau UMNO itu benar dan tidak bertentangan dengan agama cuba beritahu," katanya ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membayangkan kemungkinan diadakan kerjasama politik dengan PAS suatu masa nanti.

Nik Abdul Aziz berkata dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.

"Islam untuk semua kaum, bukan untuk orang Melayu sahaja atau Cina, India dan Orang Putih, semua perlu bersatu di bawah Islam," katanya.- 26/7/2008


-Agenda Daily

No comments: