"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Friday, August 15, 2008

Anwar Berhak Terima Salinan Laporan Polis, Kata Syed Hamid

PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak mendapatkan salinan laporan polis berhubung dakwaan liwat yang dihadapinya untuk membuat pembelaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak tahu mengapa salinan tersebut masih tidak diserahkan kepada Anwar walaupun dakwaan telah dibuat terhadapnya di mahkamah.

"Mengikut undang-undang, beliau berhak mendapatkan salinan laporan polis itu untuk membolehkan beliau membuat persediaan membela diri.

"Saya tidak tahu, anda perlu bertanya kepada pihak yang mengendali kes ini untuk mendapat sebab dan jawapan yang tepat. Saya hanya Menteri Dalam Negeri dan saya tidak terlibat dalam proses pendakwaan dan penyiasatan," katanya ketika ditanya mengapa Anwar masih tidak menerima salinan laporan polis itu.

Pada 7 Ogos lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Tidak ada sebab mengapa Anwar tidak boleh diberikan salinan itu kerana ia dibenarkan mengikut proses perundangan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Sasaran Penting di sini hari Khamis.

Mengenai tindakan terhadap Majlis Peguam yang menganjurkan forum "Memeluk Islam" pada Sabtu lepas yang telah menimbulkan ketegangan dan mengundang kemarahan pelbagai pihak, Syed Hamid berkata kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak tanpa melakukan siasatan terlebih dahulu.

"Jika kita mahu mengambil tindakan, kita perlu melakukan siasatan, bukan sewenang-wenangnya bertindak...perlu meneliti dari segenap aspek," katanya.

Syed Hamid berkata, walaupun terdapat tekanan agar tindakan dikenakan terhadap Majlis Peguam ekoran penganjuran forum seumpama itu, namun ia tidak boleh dilakukan kecuali jika terdapat bukti yang sahih bahawa mereka telah melakukan kesalahan yang menggugat keselamatan negara.

"Jika tiada perkara seumpama itu berlaku, kita hanya boleh memberi amaran agar mereka mengambil kira pandangan dan sensitiviti agama serta kaum lain.

"Kita tidak mahu dalam apa juga konflik atau permasalahan, Islam dianggap sebagai punca sedangkan ia adalah masalah sejagat yang perlu diberi perhatian sama rata oleh semua pihak," katanya.

Beliau berkata, apa sahaja isu yang timbul seharusnya dibincangkan secara aman dan teliti supaya sebarang keputusan yang diambil tidak mencetuskan salah faham dan konflik yang berlarutan.

"Saya fikir kalau kita bincang baik-baik, tak ada masalah. Jangan fokus kepada isu tertentu," katanya.

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan yang kementerian itu mengeluarkan arahan melarang akhbar Katholik, The Herald menyiarkan sebarang berita mengenai pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata sebarang penulisan oleh akhbar berkenaan adalah tertakluk kepada terma dan syarat perlesenan yang diberikan.

Katanya jika akhbar berkenaan hanya memohon lesen untuk penulisan bahan-bahan bercorak keagamaan sahaja, maka mereka perlu mematuhi aspek tersebut dengan tidak melibatkan mana-mana isu yang tidak berkaitan.

"Jika mereka keluar dari skop yang ditetapkan, maka kami harus menyiasat sama ada mereka telah melanggar undang-undang atau tidak. Apabila agama dan politik dicampur-adukkan, ia boleh mendatangkan banyak masalah dan salah faham," katanya.

No comments: