PETALING JAYA: Kerajaan perlu sedar bahawa sebahagian besar rakyat negara ini tidak suka kepada perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Subramaniam berkata, negara mempunyai cukup undang-undang untuk digunakan terhadap pelabagi kelakuan yang terpesong, tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
“Mengapa undang-undang ini tidak digunakan? Individu yang ditahan (di bawah ISA) tanpa didengar penjelasan dan peluang membela diri adalah bertentangan dengan kepercayaan yang kita amalkan pada masa ini.
“Setiap kali seseorang itu ditahan di bawah ISA, ia akan menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan melakukannya kerana tidak mampu untuk mendakwa dan menghukum orang itu di bawah undang-undang yang sedia ada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataannya di sini.
Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, setiap orang tanpa mengira latar belakang politik dan ideologi perlu menyedari situasi semasa dalam negara yang semakin menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum.
“Penulis blog seperti Raja Petra Kamarudin mesti sedar yang mereka tidak boleh menggunakan kebebasan dunia siber untuk membangkitkan kemarahan dan menghina orang lain tanpa risiko dikenakan hukuman. Mereka perlu lebih bertanggungjawab.
“Sementara itu, ahli politik seperti Datuk Ahmad Ismail (Ketua Umno Bukit Bendera) perlu sedar yang platform kempen pilihan raya kecil tidak boleh digunakan untuk mempersoalkan hak mana-mana kaum yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Anak-anak mereka yang berhijrah pada masa lalu tidak bersalah untuk dipersoalkan hak-hak asasi mereka dan dilabelkan sebagai golongan kelas kedua. Selepas 50 tahun merdeka, kita perlu lebih matang,” katanya.
Subramaniam berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mesti sedar yang seluruh negara tidak boleh digadaikansemata-mata untuk memenuhi keinginannya menjadi Perdana Menteri dengan segera.
Katanya, rakyat sudah bosan dengan pelbagai kerenah Anwar yang menggugat kestabilan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dengan cara yang menyalahi undang-undang dan boleh dipersoalkan.
“Walaupun beliau mempunyai sedikit harapan untuk berjaya dalam percubaannya itu namun kesannya kepada kehidupan seharian rakyat dan ekonomi tidak dapat dinafikan.
“Beliau dan penyokongnya perlu menghentikan segera karenah mereka dan sepatutnya menumpukan kepada negeri-negeri yang dikuasai mereka (Pakatan Rakyat) dan membiarkan Barisan Nasional mentadbir negara dan negeri-negeri yang dimenangi mereka melalui pilihan raya umum lalu,” katanya.
Subramaniam berkata, Anwar perlu menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang untuk menentukan sama ada beliau akan menjadi Perdana Menteri.
-mSTAR Online
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment