"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Monday, September 22, 2008

Rilex Pak Lah..!

kemaskini 7:26pm "Jangan kerana mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan", demikian nasihat beberapa pemimpin Umno bahagian kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah minggu lepas digesa meletakkan jawatan presiden Umno sebelum mesyuarat bahagian-bahagian bermula pada 9 Oktober kerana dibimbangi beliau tidak mendapat cukup pencalonan.

Desakan itu - sebahagian strategi untuk menyegerakan peralihan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak - disuarakan oleh beberapa anggota Majlis Tertinggi (MT), termasuk anggota-anggota kabinet, Khamis lalu.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin bahagian yang dihubungi Malaysiakini hari ini percaya suara-suara itu membuat keputusan "terlalu awal" kerana mesyuarat belum bermula.

Sementara beberapa yang lain mencadangkan Abdullah melepaskan jawatannya jika terbukti gagal mendapat sokongan bahagian-bahagian yang akan bermesyuarat sehingga 9 November ini.

Beliau memerlukan pencalonan 58 daripada 193 bahagian untuk layak bertanding jawatan tersebut yang disandangnya sekarang sejak 2004.

Ketua bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata saranan seumpama itu "permainan orang yang gila hendak bertanding."

"Mesyuarat bahagian pun belum lagi, mana tahu mereka tidak sokong Abdullah? Kalau satu, dua bahagian mungkin adalah (yang tidak mencalonkannya).

"Permainan ini dibuat oleh agen-agen politik yang mahukan naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding jawatan tersebut," katanya.

Di Pulau Pinang, tambahnya, sebahagian besar bahagian dipercayai akan mencalonkan Abdullah kerana beliau pengerusi perhubungan Umno dan juga perdana menteri.

Musa menambah, ahli-ahli akar umbi di negeri itu mahu presiden Umno erus menerajui parti selepas Disember ini.

Ketua bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman pula berkata, jika hanya beberapa anggota MT menggesa sedemikian bukan bermakna ia tidak mahu beliau bertanding.

Masing-masing membuat ramalan sedangkan, tambahnya, cara terbaik ialah menunggu bahagian mengadakan mesyuarat terlebih dahulu.

"Adakah kalau Abdullah berundur cepat, ia boleh menguatkan Umno? Jangan kerana mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan," katanya.

Ketua bahagian Umno Selayang, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman berkata, cakap-cakap Abdullah bakal menghadapi masalah kuota pencalonan satu usaha meminggirkan perdana menteri.

"Dakwaan bahawa Abdullah tidak cukup pencalonan merupakan andaian sahaja kerana mesyuarat bahagian belum bermula," katanya.

Beliau menambah, jika kepimpinan tinggi Umno saling cabar-mencabar ia akan merebak sampai ke bawah.

Katanya, jika ia berlaku, Umno akan mengulangi peristiwa 1987 yang menyaksikan perpecahan dua puak dalam parti itu sebelum ia kemudiannya diharamkan.

Timbalan ketua bahagian Umno Semberong, Abidin Abdul Rahman berkata, Abdullah perlu mendapatkan maklumat yang jelas sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, sebagai presiden parti, Abdullah tidak boleh terpengaruh dengan dakwaan bahawa beliau tidak cukup pencalonan.

Bagaimanapun, jika sahih bahagian-bahagian tidak mahukan beliau lagi, Abdullah tiada pilihan lain kecuali berundur.

"Dalam sejarah Umno, orang lebih sayangkan parti daripada individu.

"Lihatlah apa yang berlaku kepada bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad selepas meninggalkan Umno, ahli tidak mengikut jejaknya," katanya.

Ketua bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata, jika bahagian sudah tidak mahu kepemimpinan Abdullah lagi, beliau tidak akan dicalonkan.

"Kita kena ikut demokrasi, siapa yang ramai orang sokong, dialah yang jadi pemimpin," katanya.

Manakala ketua bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail berkata, Abdullah perlu melihat kehendak ahli-ahli terhadap kepimpinannya sekarang.

Katanya, jika ramai yang bercakap mereka tidak mahu lagi, Abdullah perlu berundur.

"Sebagai pemimpin, beliau perlu mengutamakan kepentingan parti dan bukannya kepentingan peribadi," katanya.

Ishak berkata, jika Abdullah berkeras mahu mempertahankan jawatan presiden, dan ada calon lain yang mahu bertanding, Umno akan berpecah-belah selepas perhimpunan agung kelak.

Ditanya calon yang paling sesuai dicalonkan sebagai presiden Umno, Ishak berkata, "orang ramai mahukan Datuk Najib".

"Orang kata, Abdullah sudah hilang kawalan dan kerana itu Umno perlukan nakhoda yang baru.

"Tengku Razaleigh Hamzah tidak sesuai menjadi presiden parti kerana sudah lanjut tempoh," katanya.

Timbalan ketua bahagian Semporna, Datuk Nasir Sakaran pula berkata, isu tersebut perlu diselesaikan oleh pucuk pimpinan tertinggi Umno.

Katanya, beliau enggan mengulas panjang perkara tersebut dengan alasan tidak mahu menimbulkan kontroversi di dalam parti.

"Apa yang penting ialah sama-sama mencari jalan menyatupadu dan mengukuhkan parti.

"Cakap-cakap yang keterlaluan bukan untuk mengukuhkan parti tetapi boleh menyebabkan ahli berbelah bahagi terhadap pucuk pimpinan," katanya.

Sementara naib ketua bahagian Pasir Mas, Che Johan Che Pa, berkata cara terbaik ialah memberi peluang kepada perwakilan bahagian menentukan pemimpin parti.

Katanya, ahli Umno yang lebih mengetahui pemimpin yang baik untuk parti itu.

-malaysiakini

No comments: