Prof Dr Abu Bakar Abdul Hamid terdiam sebentar sejurus mendengar lafaz Dr Abdul Latiff Abu Bakar pada 19 Disember lalu di dalam forum anjuran Pusat Dialog Peradaban dan Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) itu.
Dr Abdul Latiff, mungkin oleh kerana terlalu lama memendam rasa, beliau mengeluarkan segala yang terbuku di hatinya selama ini. Suasana menjadi tenang untuk seketika. Maka, cabaran Pena yang meminta supaya Gapena menjelaskan pendiriannya berhubung PPSMI ini telah pun selesai untuk pusingan pertama. Hadirin semakin jelas dan faham.
Hanya tinggal beberapa persoalan lagi yang masih berlegar di fikiran para peserta forum itu. Walaupun jumlah hadirin sekitar 40 orang, namun jumlah yang kecil ini bukan suatu hal yang boleh dipermain-mainkan.
Setidak-tidaknya sudah ada saling cabar-mencabar antara Gapena dan Kumpulan Prihatin yang disifatkan sebagai pertubuhan yang longgar kerana tak didaftarkan secara sah. Tapi, inti semangat perjuangan Kumpulan Prihatin tak boleh dipandang rendah kerana landasan wadah ini menempatkan golongan cendekiawan universiti.
"Untuk pengetahuan semua," dalam nada suaranya yang rendah Dr Abu Bakar menyebut, "ada sebuah persatuan muda yang masih bergiat cergas dalam urusan membantah PPSMI ini. Nama persatuan itu ialah PKPIM."
"Tempoh hari, mereka ada buat program di Kuantan. Malangnya, saya seorang saja yang hadir dari Kuala Lumpur.
"Mereka juga ada membuat bantahan di internet tentang PPSMI ini. Jadi, saudara semua boleh war-warkan kepada semua orang agar sejuta tandatangan boleh dihimpunkan," kata beliau lagi.
"Boleh ulang sekali lagi laman web tu?" Dato' Dr Firdaus Abdullah mencelah dari bawah pentas forum. Dia kelihatan sedang mencatatkan sesuatu.
"http://www.pkpim.net," ujar Dr Abu Bakar dengan ringkas.
"Saya tak tahu pun tentang perjumpaan di Kuantan itu," Dr Abdul Latiff menoleh ke arah Prof Abu Bakar Abdul Hamid. "Kalau saya tahu, saya pun akan pergi.."
Bantahan di Putrajaya
16 Disember lalu persidangan meja bulat mengenai PPSMI dilakukan antara Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Dr Wee Ka Siong bersama pertubuhan pelajar itu.
Seperti biasa, Dr Wee Ka Siong berkata bahawa hasil persidangan itu akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet sebelum sebarang keputusan dibuat.
Ayat-ayat klise yang diberikan ini tentunya memenatkan. Tapi, hanya itulah yang mampu dilakukan buat sementara ini. Tetapi, ada sedikit ketegasan oleh Naib Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz.
"Kami dengan tegas, terus membantah dasar PPSMI ini jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan dasar ini pada masa akan datang," kata beliau selepas menyerahkan 'Petisyen Bantahan Terhadap PPSMI' kepada Dr Wee Ka Siong di Putrajaya.
Bantahan itu, menurutnya, telah berjaya mengumpulkan hampir 1,000 tandatangan dalam tempoh 14 hari dalam kalangan mahasiswa seluruh negara dan ibu bapa di kawasan luar bandar.
Demi menyelamatkan nasib bahasa Melayu, katanya, PKPIM akan terus berusaha dengan menggunakan segala saluran yang ada sebagai langkah bagi memastikan agar kedudukan Bahasa Melayu dihormati semua pihak.
Ugutan pertubuhan pelajar
"Kami sebagai wadah gerakan pelajar tidak teragak-agak melangkah lebih jauh sekiranya suara kami tidak didengari kerana kami sudah bersedia ke arah itu," kata beliau.
Cara Dr Abdul Latiff agak kemas dan bernada serius apabila beliau menyebutkan tarikh 15 Mac sebagai tanda amaran kepada Menteri Pelajaran Hishammuddin Tun Hussein.
Hanya, anjakan tarikh itu sepatutnya diawalkan dan janganlah terlalu dekat kepada tarikh Perhimpunan Agung Umno. Bukankah ugutan ini berasal daripada ahli akademik? Tidak perlulah diambil perhitungan sangat dengan tarikh yang ada kaitan dengan politik.
Selepas tarikh itu, kata Dr Abdul Latiff, beliau dan rakan-rakannya akan meminta menteri meletak jawatan. Jika ugutan, maka sebaik-baiknya 40 hari atau sebulan saja. Tiga bulan itu, akan menyebabkan menteri pelajaran tidak terasa sangat kesan ugutannya.
Namun, ugutan PKPIM itu tidak disertakan pula dengan tarikh ajal kepada Hishammudin itu. Apa-apa pun.. sekalung tahniah dan penghargaan dilafazkan kerana persatuan pelajar itu telah cuba melakukan segala yang terbaik setakat ini.
"Kesan dasar ini tidak dirasai pemimpin hari ini, sebaliknya bebanannya tanggung oleh generasi masa hadapan. Maka, perjuangan ini adalah tanggungjawab yang wajib digalas seluruh anak muda yang sayangkan masa depan identiti rakyat dan Malaysia.
"PKPIM turut memandang tinggi kepada ketegasan beberapa badan bukan kerajaan lain yang konsisten membantah dasar ini seperti Kumpulan Prihatin, Pena, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Dong Jiao Zong, dan sebagainya," kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Fazsal berkata, PKPIM akan terus memberikan sokongan ke atas usaha mana-mana pemimpin yang konsisten memperjuang nasib bahasa Melayu.
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Monday, December 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment