"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Saturday, August 09, 2008

Forum Majlis Peguam tukar kecoh, dihentikan

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Forum "Memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam yang diadakan di sebalik demonstrasi kira-kira 300 orang termasuk beberapa wakil rakyat di ibu negara pagi ini, bertukar kecoh dan terpaksa dihentikan sejam kemudian.

Ekoran bantahan dan usaha untuk merempuh bangunan Majlis Peguam, forum terpaksa dihentikan kira-kira pukul 10.02 pagi.

Presiden Majlis Peguam Datuk S. Ambiga memberitahu forum itu bahawa polis telah menasihatkan agar ia ditamatkan pada 10 pagi. Forum itu sepatutnya berakhir 1.30 tengah hari.

Pada pukul 10 pagi, Ambiga mengumumkan secara rasmi bahawa forum itu ditutup.

"Kami menghormati pandangan semua pihak. Kami tidak bergaduh dengan sesiapa dan saya mengumumkan forum ini ditutup," katanya.

Forum yang berlangsung di tingkat satu bangunan Majlis Peguam dihadiri kira-kira 110 orang,.

Forum terpaksa dihentikan selepas berlaku kekecohan dan situasi jerit-menjerit kira-kira 10 pagi.

Apabila beberapa wakil kumpulan yang membantah tiada apa-apa perubahan menjelang pukul 10, mereka menjerit "hentikan, hentikan".

Bagaimanapun para peserta tidak bersetuju forum dihentikan dan ada yang dirujuk dengan kata-kata kasar dan kesat semasa keluar dewan persidangan.

Ini disusuli dengan arahan "diam" daripada polis, meminta semua orang bertenang.

Ekoran suasana yang agak tegang, Presiden Majlis Peguam terpaksa menghentikan forum berkenaan.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Malaysia, Shahril Aziz juga mengumumkan forum "ditutup".

Wartawan mStar Online melaporkan ada pertengkaran dan suasana tegang antara wakil beberapa NGO dan penganjur semasa perundingan diadakan untuk mengakhiri forum berkenaan.

Pasukan FRU juga diletakkan di luar bangunan Majlis Peguam untuk menghalang mana-mana pihak memasuki premis berkenaan.

Forum dimulakan kira-kira pukul 9 pagi di bangunan Majlis Peguam yang terletak di Leboh Pasar Besar di sini.

Kira-kira pukul 9.30 pagi, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamed Zulkarnain Abd. Rahman memasuki pejabat Majlis Peguam untuk berunding bagi meminta forum itu dihentikan atas alasan keselamatan.

Beliau disertai tiga wakil NGO kira-kira 15 minit iaitu Shahril, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim dan Ketua Penerangan Alumni Kelab Umno Luar Negara, Nazari Ahmad.

Polis telah meminta penganjur menamatkan forum menjelang pukul 10 pagi.

Tiada kecederaan dan tangkapan dibuat, kata polis.

Bagaimanapun menurut Mohamed Zulkarnain pihaknya ada menemui dua botol yang mulanya disyaki sebagai Molotov cocktails.

Tetapi tidak dapat mengesahkan itu bahan letupan dan diserahkan kepada unit pemusnah bom yang turut dipanggil ke tempat kejadian, kata beliau.

"Mereka (pihak penganjur) telah bersetuju untuk menghenti dan membatalkan forum perdana itu.

"Pihak polis mempunyai kuasa untuk menasihat Majlis Peguam dan menghentikan forum ini setelah mendapat ancaman semakin meningkat," katanya.

Kata Mohamed Zulkarnain, rundingan telah diadakan dengan dua wakil Majlis Peguam termasuk Naib Presidennya Ragunath Kesavan.

Turut menyertai demonstrasi bantahan hari ini ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin dan Salahuddin Ayub, wakil rakyat Kubang Kerian

Dalam pada itu, Zulkifli pula berkata, pihaknya telah berjaya menghentikan forum itu tanpa unsur politik.

"Kita telah memberi amaran yang jelas kepada mereka dan tidak mahu forum seperti ini diadakan lagi.

"Kita telah bertindak secara aman dan bertamadun," katanya kepada pemberita di luar bangunan Majlis Peguam.

Mereka yang membantah forum itu turut merempuh bangunan Majlis Peguam ketika beberapa wakil NGO dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi mengadakan perundingan dengan penganjur meminta forum dihentikan pada pukul 10 pagi.

Terdahulu kira-kira pukul 7.50 pagi, Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, pihaknya akan meneruskan forum berkenaan.

"Ini hak kami dan kami mengalu-alukan sesiapa untuk menyertai forum," kata beliau kepada pemberita.

Kumpulan yang membantah forum berkenaan, bertambah hingga kira-kira 500 orang menjelang pukul 9.30 pagi.

Demonstrasi diiringi laungan "hentikan forum" disertai ahli dan penyokong 29 pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Majlis Angkatan Antara Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (Mapan).

Antaranya ialah Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), GPMS, Persatuan Rakyat Islam Muslim Malaysia (IRIM), Pekida, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Alumni Kelab Umno Luar Negara.

Yang lain Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Jawatankuasa Penyelaras Perikatan NGO Islam (ACCIN), Persatuan Al-Hidayah, Belia Perkim, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Persatuan Al-Hunafa dan Persatuan Darul Fitrah Malaysia.

Turut sama Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia, Persatuan Seruan Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, Persatuan Ulama Malaysia, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Yayasan Kerjaya Malaysia, Kelab Cinta Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Persatuan Penjaja Kecil Wilayah Persekutuan.

Pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat juga menyertai bantahan itu.

PKR diwakili oleh dua ahli Majlis Tertingginya iaitu Badrul Amin Baharum dan Latheefa Koya.

Salahuddin yang juga Ketua Pemuda PAS berkata, forum itu tidak seharusnya mempertikaikan Fasal 121 (1A).

Semalam, Ragunath berkata, forum itu tidak akan mempertikaikan Fasal 121 (1A) atau mempersoalkan agama Islam dan statusnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kebimbangan pihak tertentu termasuk beberapa menteri Kabinet seperti Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan PAS diberi perhatian," katanya.

Ragunath berkata, objektif Majlis Peguam ialah untuk menyelesaikan isu mengenai konflik undang-undang yang dihadapi keluarga yang terperangkap antara pemisahan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah Syariah.

Panel penceramah hari ini terdiri daripada tiga pengamal undang-undang, Ravi Nekoo, K. Shanmuga dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Sementara dua orang penceramah yang sepatutnya turut serta telah menarik diri iaitu Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga bekas Hakim Syarie, Dr Haji Naim Haji Mokhtar dan Pengarah Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik/Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Wan Azhar Wan Ahmad.

-mSTAR Online

No comments: