"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Saturday, August 09, 2008

Kerajaan Negeri Johor Akan Bertindak Jika S'pura Perluas Kawasan Sekitar Rumah Api Pulau Pisang

JOHOR BAHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya jika Singapura didapati telah meluaskan kawasan sekitar rumah apinya di Pulau Pisang di sini, kata Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Katanya, kerajaan negeri akan menyiasat dakwaan berlaku perluasan kawasan melebihi dari apa yang ditandakan kepada republik itu di bawah indentur (kontrak) antara Sultan Johor dengan kerajaan Negeri-negeri Selat pada 1900.

"Indentur itu memperuntukkan kawasan tertentu bagi rumah api itu iaitu lebih seekar, satu rod. Jalan menuju ke rumah api itu ialah kira-kira satu ekar sementara jeti ialah 17 pol," kata beliau.

Tanpa menyebut jenis tindakan yang akan diambil, Ghani berkata jika dakwaan itu (mengenai Singapura memasang pagar di luar kawasan ditanda) benar, maka Singapura telah melanggar indentur itu.

Ghani bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Perusahaan Kecil dan Sederhana Johor 2008 di sini. Ditanya sama ada kerajaan negeri akan merangka pelan induk bagi Pulau Pisang, Ghani berkata buat masa ini tidak.

"Kerajaan pusat hendaklah menyerahkan kepada Johor untuk merangka pembangunan yang sesuai bagi kawasan tertentu tetapi buat masa ini perkara ini tidak timbul," kata beliau.

Beliau berkata kerajaan negeri ada beberapa pembangunan infrastruktur untuk dilaksana di Pulau Pisang tetapi tidak menyatakan apa.

Ghani menegaskan Malaysia mempunyai bukti jelas tentang kedaulatannya ke atas Pulau Pisang dan pulau-pulau kecil sekitarnya.

Antaranya ialah kebun buah-buahan milik 87 penduduk tempatan dan 15 rumah Melayu, 200 kubur Islam dan satu tapak masjid lama. Pulau Pisang diwartakan pada 1 Jan 1985 sebagai sebahagian dari Mukim Pontian dan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Pontian pada 9 Mei, 2008.

Sebuah kawasan rizab untuk pos Jabatan Laut juga diwarta di situ pada 2002.

Mengenai kemungkinan Johor mengambil alih rumah api itu dari Singapura, Ghani berkata perkara itu harus dibincangkan antara kerajaan pusat dengan Singapura.

Beliau berkata negeri ini boleh mengambil alih jika rumah api itu tidak lagi dikendalikan oleh Singpura atau tidak menyenggaranya dengan sempurna sebagaimana dinyatakan pada indentur itu.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim dilaporkan sebagai berkata semalam yang kerajaan Johor perlu merangka pelan pembangunan Pulau Pisang demi menentukan ia tidak terlepas ke pihak lain sebagaimana Batu Puteh.

Beliau ditanya mengenai dakwaan yang Singapura telah memperluas kawasan sekitar rumah api di pulau itu.

No comments: