"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Saturday, August 09, 2008

Penganjur patut dikenakan ISA - Ali Rustam

Datuk Seri Mohd. Ali Rustam• 51 tahun merdeka kurang dirasai
• Jaga sensitiviti, kesabaran orang Melayu
• 'Wanita UMNO tidak setuju'
• Dua laporan polis dibuat ke atas Majlis Peguam
• Majlis Peguam tidak berganjak
• Jangan cabar kesabaran Melayu - Hishammuddin
• Majlis Peguam perlu hadapi kemungkinan
• NGO Islam anjur demonstrasi
• Jangan bangkit isu sensitif - Musa

MELAKA 8 Ogos - Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas Majlis Peguam yang mahu meneruskan forum Memeluk Islam di ibu negara esok.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan Majlis Peguam itu sengaja mahu menimbulkan suasana tidak selamat dalam negara yang boleh menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam.

"Jika tindakan tidak diambil, negara akan menjadi huru-hara kerana ia akan membangkitkan kemarahan orang Islam yang akhirnya boleh menyebabkan rusuhan kaum," katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menuai padi di Kampung Bukit Lintang, Ayer Molek di sini hari ini.

Mengulas ketegasan Majlis Peguam untuk meneruskan forum tersebut esok meskipun dibantah pelbagai pihak, Mohd. Ali berkata, forum itu bersifat menghasut rakyat yang boleh membawa kepada perpecahan dan ketegangan kaum.

Beliau mahu semua pihak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Katanya, kebebasan bersuara yang dinikmati jangan sampai menghina agama orang lain.

Beliau percaya Majlis Peguam kini didalangi parti pembangkang dan ini mendorong badan guaman itu bersungguh-sungguh untuk mengadakan forum yang menyentuh sensitiviti umat Islam walaupun telah diberikan amaran.

BerkesudahanMohd. Ali menambah, perbahasan mengenai kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil termasuk dalam isu memeluk Islam tidak akan berkesudahan sampai bila-bila kerana kedua-duanya adalah berbeza dan tidak boleh dicampuradukkan.

Sementara itu, di BAGAN DATOH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa pihak berkuasa menggunakan peruntukan Akta Hasutan terhadap Majlis Peguam sekiranya ia tetap meneruskan forum itu.

Bernama melaporkan beliau sebagai berkata, sikap Majlis Peguam yang suka membincangkan secara terbuka isu-isu sensitif termasuk hak orang Islam dan Melayu di negara ini boleh mencetuskan permasalahan antara kaum di Malaysia.

"Kita tidak terkejut sekiranya mereka akan membincangkan kedudukan raja- raja Melayu, dan sebelum perkara ini berterusan, (saya) mintalah dikenakan Akta Hasutan ke atas Majlis Peguam kerana mengeksploitasikan perhimpunan itu," katanya.


51 tahun merdeka kurang dirasai

OGOS adalah bulan mengingati kemerdekaan. Namun bukan bermakna pada bulan ini sahaja rakyat Malaysia mesti mengimbau getir perjuangan generasi terdahulu memperjuangkan kemerdekaan. Cuma Ogos menjadi istimewa kerana pada tarikh 31 Ogos keringat dan darah pejuang kemerdekaan terbalas apabila negara bebas daripada belenggu penjajah.

Namun selepas sembilan hari meniti Ogos, sambutan bulan kemerdekaan ditenggelami dengan hiruk-pikuk politik tanah air serta kerenah forum anjuran Majlis Peguam.

Media cetak dan elektronik ghairah bercerita tentang tuduhan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kemaruk politik wang yang melanda pemilihan UMNO di peringkat cawangan.

Terbaru, pilihan raya kecil Permatang Pauh menjadi tajuk utama sehingga dalam banyak ketika perihal bulan kemerdekaan gagal untuk mendapat ruang.

Bahana politik semasa nampaknya lebih dominan sehingga rakyat terlupa tiga minggu lagi kita akan meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-51. Atau kerana angka yang melepasi 50 menyebabkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini hambar dan kurang digerakkan oleh jawatankuasa yang berkenaan.

Hakikatnya, melepasi angka 50 tahun kemerdekaan tanah air sememangnya sesuatu yang mesti menjadi kebanggaan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Namun di sebalik kebanggaan itu ada kerisauan yang tidak boleh disembunyikan lagi apabila satu demi satu persetujuan yang tercapai baik secara tersurat mahupun tersirat 50 tahun lalu diungkit tanpa ada rasa hormat sesama kaum.

Usia 51 tahun sepatutnya menjadikan rakyat Malaysia semakin matang menilai antara yang baik dan buruk - bukannya mencari jalan untuk mencetuskan permusuhan yang kesannya boleh saja merosakkan negara.

Perkembangan terkini menunjukkan trend terbalik apabila kemerdekaan negara yang subur selama 50 tahun semacam cuba diruntuhkan satu demi satu dengan menjadikan kerencaman kaum sebagai alat propaganda.

Sedangkan sepatutnya semua pihak berusaha memelihara kemerdekaan negara dan mengukuhkannya dengan pelbagai cara termasuk merapatkan hubungan antara rakyat pelbagai kaum.

Sebab itu sambutan bulan kemerdekaan penting terutamanya untuk mengingatkan semua pihak bahawa untuk mencapai angka 51 tidak mudah - ia menuntut banyak pengorbanan dan persefahaman.

Oleh itu ragam politik yang bukan sedikit tidak harus menenggelamkan semarak bulan kemerdekaan. Biarpun ada tarikh-tarikh penting lain untuk tempoh tiga minggu ini namun memahami nilai kemerdekaan tanah air sepatutnya menjadi agenda paling penting dan mesti ditonjolkan supaya rakyat tidak lupa bahawa kita hampir 51 tahun merdeka.


Jaga sensitiviti, kesabaran orang Melayu

MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikatakan Majlis Peguam terus bermain dengan api apabila ingin menganjurkan forum awam bertajuk 'Memeluk Islam', hari ini.

Sama ada forum itu akan dibatalkan ataupun tidak berikutan pelbagai desakan termasuk daripada kerajaan dan parti politik Melayu tetapi apa yang jelas sudah ada keberanian di pihak tertentu untuk menyentuh perkara-perkara sensitif berkaitan dengan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Sebelum ini, Majlis Peguam juga pada Jun lalu tanpa mempedulikan pelbagai kritikan turut menganjurkan forum bertajuk 'Kontrak Sosial'.

Namun adalah jelas majlis berkenaan yang dianggotai oleh mereka yang bijak pandai dalam undang-undang tidak memahami atau sengaja melupakan sensitiviti orang Melayu.

Mereka turut melakukan forum-forum seumpama itu yang disifatkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sebagai 'bermain api'.

Oleh itu adalah perlu Majlis Peguam belajar untuk memahami sensitiviti berhubung perkara berkenaan dan jangan terlalu ghairah menganjurkan forum yang boleh mencetuskan kontroversi serta konflik di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Hakikatnya, majlis tersebut sengaja mencari fasal dengan berbuat demikian tetapi apabila kerajaan bertindak tegas maka mereka akan menjerit-jerit bahawa apa yang mereka lakukan adalah kebebasan bersuara.

Tetapi mereka lupa bahawa kebebasan tersebut bukan bererti mana-mana pihak berhak untuk mengadakan forum yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

Selain itu, persoalan juga timbul kenapakah sejak kebelakangan ini Majlis Peguam menunjukkan keberanian luar biasa dengan menganjurkan forum berkaitan orang Melayu dan Islam, biarpun mereka mengetahui ia amat bahaya.

Mungkin bagi Majlis Peguam, mereka bertindak demikian kerana merasakan inilah saat terbaik berbuat demikian memandangkan orang Melayu kini berpecah akibat keputusan pilihan raya umum lalu.

Namun mereka terlupa bahawa isu yang disentuh akan dilihat oleh orang Melayu tanpa mengira apa juga ideologi politik yang mereka pegang.

Ketegasan pemimpin UMNO dan Pas yang sekata menentang forum 'Memeluk Islam' itu dengan jelas membuktikan bahawa orang Melayu akan bersatu jika kepentingan bangsa dan agama mereka digugat.

Oleh itu Majlis Peguam yang begitu bijak dalam bab undang-undang janganlah cuba mencabar kesabaran orang Melayu dan Islam.

Tidak perlu berdolak-dalih berhubung kenapa forum seumpama itu diadakan. Kalau Majlis Peguam jujur, mereka seharusnya menganjurkan forum yang lebih menjurus ke arah menyatukan semua kaum di negara ini dan bukannya berusaha mencabar kepentingan mana-mana kaum.

Mungkin majlis berkenaan mempunyai kedegilan tersendiri tetapi percayalah apa yang cuba mereka lakukan tidak akan menguntungkan rakyat.

Janganlah menganggap bahawa tujuan forum itu sudah disalah tafsir sedangkan hakikatnya Majlis Peguam yang berdolak-dalih.

Kenapakah forum itu hendak diadakan sekarang? Kenapa tidak diadakan ketika ada kes berkaitan tajuk forum tersebut? Semua ini jelas membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan penganjuran berkenaan.

Kepada orang Melayu pula, mereka tidak harus memandang sepi tindakan majlis tersebut. Ini kerana ia jelas membuktikan perpecahan sesama mereka dan andaian bahawa cengkaman kuasa politik semakin longgar telah memungkinkan ada pihak-pihak tertentu cuba menggugat kepentingan dan hak mereka.

Selama ini, kita mungkin tidak pernah memikirkan bahawa ada pihak berani berbuat demikian tetapi tindakan Majlis Peguam sudah membuktikan sebaliknya.

Justeru pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili orang Melayu tidak harus duduk diam, mereka tidak boleh membiarkan sahaja UMNO dan Pas berjuang menghalang Majlis Peguam.

Sebaliknya mereka juga perlu tegas berbuat demikian bagi memberi isyarat yang jelas kepada majlis berkenaan bahawa apa yang mereka lakukan pada hakikatnya tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Apa pun keadaannya adalah diharapkan Majlis Peguam yang kononnya semakin berani ini memahami bahawa mereka sedang melakukan perkara yang boleh menggugat demokrasi dan perpaduan di negara ini.

Ingatlah bahawa soal bangsa dan agama jika tersilap ditangani boleh menghancurkan sebuah negara majmuk seperti Malaysia, oleh itu jangan melampaui batas!


'Wanita UMNO tidak setuju'

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pergerakan Wanita UMNO tidak setuju sama sekali dengan penganjuran forum awam membincangkan artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan bertajuk 'Memeluk Islam' yang dianjurkan Majlis Peguam, esok.

Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, semua pihak harus prihatin bahawa isu agama Islam adalah di bawah bidang kuasa dan naungan Sultan dan Raja-Raja Melayu.

"Isu-isu sensitif sebegini tidak harus dijadikan bahan debatan tanpa mengambil kira kemungkinan timbulnya rasa tidak puas hati yang dapat mencetuskan kemarahan dan ketegangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Majlis Peguam untuk meneruskan forum tersebut esok walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memberi amaran kepada majlis itu supaya tidak 'bermain api'.

Pelbagai pihak pula mendesak majlis itu supaya membatalkan penganjuran forum tersebut kerana ia dikhuatiri menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Shahrizat berkata, Wanita UMNO juga berpendapat objektif yang diingini tidak akan tercapai melalui forum atau debat seperti yang akan diadakan itu.

"Sebagai satu badan yang bertanggungjawab, Majlis Peguam seharusnya mempunyai kematangan dalam menangani isu-isu yang amat sensitif seperti itu dengan lebih bijaksana," katanya.


Dua laporan polis dibuat ke atas Majlis Peguam

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Dua ahli Majlis Angkatan Antara NGO-NGO Islam (Mapan) hari ini membuat laporan polis terhadap Majlis Peguam kerana menganjurkan Forum Memeluk Islam pagi esok.

Laporan pertama dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 11.30 pagi oleh Pegawai Khas Aduan, Imran Yusof manakala Presiden Pekida, Jamaluddin Yusof pula berbuat demikian di Balai Polis H. S. Lee di sini pukul 12 tengah hari.

Menurut Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, laporan itu dibuat kerana mendapati tindakan Majlis Peguam boleh mengundang salah faham masyarakat terhadap Islam.

''Perkara ini dilihat sebagai satu usaha agresif pihak tertentu yang cuba menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini,'' katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Menurutnya, perbincangan Artikel 121 (1A) akan memperlihatkan Majlis Peguam sebagai badan yang mempertikaikan isu dan hak keistimewaan Islam selain mencabar kuasa Raja-Raja Melayu.

Sementara itu, Jamaluddin berkata, laporan polis dibuat kerana tindakan Majlis Peguam terus menganjurkan forum itu memberi gambaran seolah-olah cuba memainkan sentimen perkauman.

''Saya minta pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Majlis Peguam. Itu sahaja yang kami minta,'' katanya.


Majlis Peguam tidak berganjak

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Majlis Peguam tetap akan meneruskan Forum Memeluk Islam walaupun pelbagai pihak mendesak acara tersebut dibatalkan kerana khuatir ia menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama.

Naib Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, Majlis Peguam menyedari perkara berkaitan agama amat sensitif dan boleh membangkitkan emosi namun tidak semestinya ia tidak boleh dibincangkan.

Katanya, forum berkenaan diadakan bukan bertujuan menghina mana-mana agama sebaliknya bertujuan merintis jalan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi segolongan masyarakat yang tersepit antara undang-undang sivil dan syariah.

"Kita menerima dan menghormati Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, namun ada sudut pandangan yang kukuh bahawa adalah tidak adil untuk memaksa sesiapa sahaja tertakluk kepada undang-undang dan mahkamah berasaskan agama yang tidak dianuti oleh mereka.

"Kekhuatiran kami ialah mengenai cara konflik itu ditangani. Perlu ada usaha terancang oleh kerajaan untuk menangani isu ini dengan bersungguh-sungguh dan bukan secara berpura-pura sahaja," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Forum tersebut akan berlangsung di Auditorium Majlis Peguam di Lebuh Pasar Besar di sini bermula pukul 8.30 pagi esok.

Sehingga petang ini, kira-kira 150 peserta terdiri daripada orang awam, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan luar negara telah mendaftarkan diri untuk menyertai forum berkenaan.

Pelbagai pihak yang terdiri daripada pemimpin UMNO, Pas dan NGO Islam menyelar penganjuran forum awam itu yang dianggap boleh membangkitkan kemarahan umat Islam dan orang Melayu.

Ragunath berkata, sebarang perbincangan berkaitan isu yang dihadapi negara tidak sepatutnya berlaku secara tertutup dan hanya membabitkan pihak berwajib.

Katanya, desakan supaya forum itu dihentikan seolah-olah menunjukkan isu berkenaan tidak berhak diketahui masyarakat.


Jangan cabar kesabaran Melayu - Hishammuddin

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO memberi amaran kepada Majlis Peguam agar tidak melampaui batasan kebebasan bersuara di negara ini dengan menganjurkan forum yang boleh mencetuskan kemarahan sesuatu kaum.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, majlis tersebut tidak sepatutnya mencabar kesabaran orang Melayu dan umat Islam dengan menganjurkan forum Memeluk Islam.

''Tidak ada yang kurang dalam hubungan kita sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum selama ini. Sikap toleransi dan keharmonian yang selama ini kita kecapi perlu terus dipertahankan agar generasi akan datang turut berpeluang menikmatinya,'' ujar beliau dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Majlis Peguam hari ini memutuskan untuk meneruskan penganjuran forum Memeluk Islam walaupun mendapat bantahan umat Islam di negara ini.

Hishammuddin berkata, tindakan Majlis Peguam meneruskan penganjuran forum tersebut, hanya akan menimbulkan pelbagai masalah baru di negara ini.

''Forum ini dilihat sengaja diadakan untuk mensensasikan isu lama yang telah pun diterima ramai dan merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab,'' katanya.

Baginya, sebagai badan yang dianggotai oleh pengamal undang-undang, majlis itu sepatutnya memastikan perjalanan sesebuah masyarakat menjadi lebih teratur.

''Memilih tajuk yang sensitif seperti ini tidak menguntungkan sesiapa,'' tegasnya.

Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak agar menolak usaha menggagalkan misi dan visi kerajaan bagi menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020.


Majlis Peguam perlu hadapi kemungkinan

KOTA TINGGI, 8 Ogos - Majlis Peguam yang akan menganjurkan forum Memeluk Islam perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat daripada penganjuran itu memandangkan mereka sudah diberi amaran supaya membatalkannya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata polis bersedia mengambil langkah tertentu terhadap Majlis itu bagi menjaga ketenteraman awam.

"Mereka sudah diberi amaran supaya tidak menganjurkan forum itu, jadi mereka perlu menghadapi akibatnya," katanya.

Syed Hamid berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menunaikan Solat Hajat dan Tazkirah anjuran Kontinjen Polis Johor di Masjid Jamek di sini malam ini.

Forum tersebut sebelum ini menerima bantahan keras banyak pihak termasuk pemimpin-pemimpin Umno, PAS dan beberapa pertubuhan lagi.

Terdahulu petang ini Naib Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan menegaskan bahawa forum itu akan diteruskan esok walaupun mendapat bantahan beberapa pihak, dan menurutnya forum itu tidak akan mempertikai Fasal 121 (1A) atau mempersoalkan agama Islam dan statusnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


NGO Islam anjur demonstrasi

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Majlis Angkatan Antara Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (Mapan) akan mengadakan demonstrasi membantah penganjuran forum Memeluk Islam di hadapan pejabat Majlis Peguam di Jalan Lebuh Pasar Besar di sini pagi esok.

Naib Presiden Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Rani berkata, kesemua ahli Mapan yang terdiri daripada 27 persatuan dan NGO Islam telah bersetuju mengadakan demonstrasi kerana Majlis Peguam masih berdegil untuk meneruskan forum tersebut.

"Kami tidak dapat bertahan dengan sikap degil Majlis Peguam kerana mereka tidak mempedulikan bantahan daripada masyarakat Islam.

"Bukan setakat surat telah dikirim, hari ini kami menghantar satu memorandum ke pejabat Majlis Peguam tetapi amat menyedihkan tidak ada ahli jawatankuasa mereka berada di pejabat,'' kata Jais kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada Majlis Peguam di sini hari ini.

Kira-kira 100 orang mewakili lima persatuan dan NGO Islam berarak secara aman ke pejabat Majlis Peguam selepas solat Jumaat untuk menyerahkan memorandum tersebut. Sebelum itu mereka berkumpul di Masjid Jamek.

Persatuan-persatuan itu terdiri daripada GPMS, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Rakyat Islam Muslim Malaysia (IRIM), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sambil berarak, mereka merentangkan sepanduk tertera perkataan Awas Bar Council Jangan Main Api, Jangan Cabar Kesucian Agama Islam dan Step Down Get Lost.

Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh setengah jam demonstrasi secara aman itu yang turut dikawal oleh pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Mengulas lanjut, Jais berkata, isi kandungan memorandum yang diserahkan kepada Majlis Peguam itu antara lain meminta badan guaman itu membatalkan forum Memeluk Islam yang dirancang diadakan esok demi menghormati kesucian agama Islam.

Jika gagal berbuat demikian sehingga petang ini, tegas beliau, Mapan akan menggembleng orang ramai berkumpul di hadapan pejabat Majlis Peguam di sini seawal pukul 8 pagi.

"Kami akan bersembahyang subuh di Masjid Jamek dan selepas itu kami akan beramai-ramai berkumpul di hadapan pejabat Majlis Peguam bagi menghalang forum tersebut diadakan,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Pekida, Jamaluddin Yusof berkata, tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum Memeluk Islam hanya akan mengundang reaksi negatif masyarakat berbilang agama di negara ini.

"Bagi kami, forum ini wajar dihentikan demi kebaikan semua pihak kerana memang jelas Majlis Peguam cuba memainkan sentimen perkauman,'' katanya.

Jamaluddin menyeru seluruh masyarakat Islam mengadakan demonstrasi secara aman esok.

Antara ahli-ahli Mapan yang akan menyertai demonstrasi itu ialah Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Jawatankuasa Penyelaras Perikatan NGO Islam (ACCIN), Persatuan Al-Hidayah, Belia Perkim, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Persatuan Al-Hunafa dan Persatuan Darul Fitrah Malaysia.

Turut sama ialah Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia, Persatuan Seruan Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, Persatuan Ulama Malaysia, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Yayasan Kerjaya Malaysia, Kelab Cinta Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Persatuan Penjaja Kecil Wilayah Persekutuan.


Jangan bangkit isu sensitif - Musa

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meminta Majlis Peguam supaya peka dan tidak membangkitkan sensitiviti agama dan kaum di negara ini dalam Forum Memeluk Islam anjurannya esok.

Beliau yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, sebagai golongan yang berpendidikan tinggi dan memahami undang-undang, mereka seharusnya mengetahui keperluan sensitif kepada perkara-perkara tersebut.

Sambil menjelaskan bahawa polis tidak dapat menghalang penganjuran forum itu kerana ia diadakan di bangunan persendirian, beliau memberitahu, pihaknya tetap akan bertindak sewajarnya jika berlaku kekacauan ekoran penganjurannya.

"Polis akan menempatkan anggota yang mencukupi bagi mengawal keadaan keselamatan di kawasan forum tersebut.

"Kita akan pantau dan pastikan tiada insiden tidak diingini berlaku. Kita mohon semua pihak yang terlibat mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.

Majlis Peguam hari ini memutuskan akan meneruskan penganjuran Forum Memeluk Islam di pejabat pertubuhan itu di Jalan Lebuh Pasar Besar di sini esok.

Naib Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, pihaknya menekankan sekali lagi bahawa forum itu bukan mempertikai Artikel 121 (1A) atau mempersoalkan Islam atau statusnya sebagai agama rasmi seperti tertera dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan keputusan majlis itu, satu demonstrasi akan diadakan Majlis Angkatan Antara NGO-NGO Islam (Mapan) di hadapan pejabat Majlis Peguam pada pukul 8 pagi esok, bagi membantah penganjuran forum berkenaan.

-TMB

No comments: