(Mutakhir) PETALING JAYA: Lebih 2,000 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam pagi ini sebagai tanda membantah syor supaya pusat pengajian tinggi tersebut dibuka kepada bukan Bumiputera.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris berkata, perarakan yang diberi nama Perhimpunan UiTM Di Hatiku akan menyerahkan memorandum membantah syor tersebut kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Kami komuniti pelajar UiTM membantah keras pandangan (membuka UiTM) sedemikian. Kami mendapati alasan bahawa tindakan mengkhaskan UiTM hanya kepada masyarakat Bumiputera menyebabkan pelajar Bumiputera kurang berinteraksi dan sebagainya adalah tidak benar," kata beliau ketika dihubungi mStar Online semalam.
Pada pukul 9 malam tadi, wakil MPP UiTM telah mengadakan pertemuan dengan Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah bagi memaklumkan tindakan mereka.
Kata Luqmannulhakim, pada pertemuan itu pengurusan tidak menghalang MPP untuk mengambil langkah sedemikian.
Malah, tindakan ini hanya akan disertai pelajar UiTM, bukannya pengurusan dan kakitangan.
"Kami difahamkan pengurusan UiTM akan mengeluarkan kenyataan kemudian," katanya.
Perarakan menyerahkan memorandum itu kepada kerajaan negeri merupakan langkah pertama, kata beliau.
"Selepas ini kami akan menyerahkan memorandum yang serupa kepada Perdana Menteri dan kemudian Yang di-Pertuan Agong yang juga Canselor UiTM. Ini akan dilakukan minggu depan," katanya.
Mengulas lanjut, kata Luqmannulhakim, pihaknya akan menghimpunkan penuntut-penuntut UiTM di kampus induk di Shah Alam awal pagi esok sebelum berarak ke Bangunan SUK.
"Sehingga malam ini kami sudah memperoleh tandatangan menyokong memorandum bantahan daripada lebih 5,000 pelajar dan ia mungkin akan mencecah 10,000 orang esok," katanya.
Kata Luqmannulhakim, pendirian kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar yang meminta 10 peratus diperuntukkan kepada penuntut bukan Bumiputera dan rakyat asing telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar.
“Memorandum ini bertujuan meminta beliau (Menteri Besar Selangor) menarik balik kenyataannya kerana bertentangan dengan prinsip penubuhan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bagi melahirkan profesional di kalangan Bumiputera,” katanya.
Perhimpunan pelajar secara besar-besaran akan diadakan esok di Padang Kawad UiTM Shah Alam seawal pukul 7.30 pagi bagi mendapatkan tandatangan pelajar sebagai bantahan.
Sementara itu Naib Canselor UiTM ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Maaf, saya tak dapat nak beri komen mengenai perkara ini sehingga Menteri Pengajian Tinggi membuat kenyataan rasmi mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau hanya akan memberi komen dalam sidang media khas yang akan diadakan di pejabatnya esok setelah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan.
Dalam pada itu, mStar Online gagal mendapatkan komen Khaled berhubung isu ini.
Semalam Menteri Besar Selangor mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi
pengajian tinggi (IPT) tersebut.
Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.
Beliau melahirkan pandangan itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan
Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali dalam sebuah akhbar hari ini yang berpendapat UiTM perlu 'dibuka' kepada kaum lain jika ingin mewujudkan persaingan yang sihat.
Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.
-mSTAR Online
No comments:
Post a Comment