Cakap-cakap tentang penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan peruntukan Akta Hasutan sedikit meresahkan. Membaca permainan politik di Malaysia ini sebenarnya mudah. Cukup mudah.
Kini heboh tentang kedegilan Majlis Peguam Malaysia berhubung penganjuran forum 'Memeluk Islam' tempoh hari. Politikus profesional mulai memukul canang dengan cadangan agar digunakan ISA bagi menyekat kedegilan peguam-peguam ini.
Jangan lupa, media-media milik pemerintah kini sedang asyik masyuk memainkan sentimen kebangsaan dan kedaulatan Islam sebaik timbul polemik forum ini. Secara kebetulan, proses mensensasikan sentimen ini dibuat menjelang pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh yang dijadualkan tidak kurang dua minggu dari sekarang.
Rata-rata penganalisis politik optimis bahawa Anwar Ibrahim bakal mewakili warga Permatang Pauh di Dewan Rakyat. Dr. Mahathir tanpa berselindung turut yakin yang Barisan Nasional akan kecundang.
Seandainya Anwar Ibrahim telah berjaya memasuki Dewan Rakyat, apakah kalian fikir regim Abdullah Badawi hanya akan mendiamkan diri? Abdullah saya kira sudah bangkit dari lenanya yang panjang. Perhatikan tarikh sebutan semula kes liwat yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim yang jatuh pada 10 September. Kata Anwar, beliau akan membentuk kerajaan persekutuan yang baru menjelang 16 September.
Sebab itu saya nasihatkan agar kita semua usah terperangkap dalam mainan sentimen yang sengaja diolah media pemerintah untuk membakar emosi rakyat. Jangan biarkan politikus profesional ini mengacah-acah kita dengan ISA dan Akta Hasutan.
Masih ingatkah kalian apa yang terjadi selepas meletusnya Tragedi 13 Mei 1969? Ya, darurat diisytihar dan Parlimen digantung. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan dan Allahyarham Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri Malaysia waktu itu mengambil alih teraju pentadbiran negara dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri (selepas Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra mengundurkan diri).
Tahukah kalian siapakah Timbalan Perdana Menteri Malaysia hari ini? Ya, Mohd Najib Abdul Razak, anak kepada Allahyarham Abdul Razak Hussein. Apakah kalian mahu sejarah zaman MAGERAN berulang semula? Saya pasti jawapannya tidak!
-riwayat hayat
-riwayat hayat
No comments:
Post a Comment