"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Friday, August 08, 2008

Provokasi terhadap kesabaran Melayu

Provokasi terhadap kesabaran Melayu• Bisik-Bisik Awang Selamat
• Puteri minta pertimbang sensitiviti orang Islam
• Nik Aziz persoal sikap Majlis Peguam
• Persatuan Ulama beri amaran
• Pas bantah forum Memeluk Islam
• Jangan anjur program sensitif secara terbuka - Najib

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Forum Memeluk Islam yang akan dianjurkan Majlis Peguam pada Sabtu ini disifatkan provokasi terhadap kesabaran masyarakat Melayu selain mengundang keresahan dan rasa tidak tenteram orang Islam.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Pirdaus Ismail berkata, walau atas alasan apa sekali pun forum berkenaan diadakan kesabaran orang Islam tetap terusik.

''Tindakan Majlis Peguam merupakan pendekatan yang sama dengan usaha segelintir pihak yang suka mengganggu ketenteraman awam menerusi kenyataan sensitif, forum, penerbitan, laman web dan demonstrasi jalanan.

''Hal ini menunjukkan anasir luar sudah menyusup masuk untuk menggugat kestabilan dan keamanan negara,'' kata beliau dalam kenyataannya, di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tindakan Majlis Peguam seolah-olah mencemar kehormatan Perlembagaan Persekutuan negara.

''Saya tidak menghalang usaha untuk berdialog, namun dialog anjuran Majlis Peguam seolah-olah prejudis, berat sebelah dan ada agenda tersembunyi.

''Mereka hanya memperjuangkan hak bukan Islam bagaimana dengan hak orang Islam. Tidak semua orang bukan Islam teraniaya seperti didakwa Majlis Peguam apabila pasangannya memeluk Islam ada yang mendapat pembelaan yang sewajarnya,'' katanya.

Tambah Zainul Rizal, mengenai perbezaan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah, ia bukanlah satu kekurangan dalam perundangan Malaysia.

Mengenai hak ibu atau bapa bukan Islam yang membawa anak mereka memeluk Islam bersama-sama pula, beliau menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan membenarkan salah seorang iaitu ibu atau bapa membawa anak kecil mereka mengikut agama mereka.

''Perlembagaan tidak menetapkan agama seseorang anak itu perlu ditentukan oleh kedua-duanya, tetapi salah seorang iaitu ibu atau bapa.

''Oleh itu, dalam kes Subashini yang menjadi rujukan Majlis Peguam, tindakan bekas suaminya yang memeluk Islam bersama salah seorang anaknya yang berusia empat tahun adalah sah mengikut undang-undang,'' kata Zainul Rijal.


Bisik-Bisik Awang Selamat

LANGKAH Majlis Peguam untuk menganjurkan forum bertajuk Memeluk Islam pada Sabtu ini, mencetuskan gelombang bantahan daripada pelbagai kalangan umat Islam.

Para pemimpin UMNO, Pas, persatuan ulama dan badan-badan bukan kerajaan bersatu pendirian mendesak dibatalkan forum tersebut yang dikhuatiri menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Rata-rata bantahan itu bersandarkan hujah bahawa perkara tersebut amat sensitif dan tidak wajar dibincangkan secara terbuka.

Ia juga dilihat sebagai cubaan mempertikaikan kedudukan Islam yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Awang harap badan guaman itu akur dan tidak mengambil mudah kemarahan serta rasa tidak puas hati umat Islam berhubung isu tersebut.

Pendirian Majlis Peguam untuk meneruskan forum berkenaan biarpun setelah diberi amaran oleh Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar agar tidak bermain api, dikhuatiri mengundang masalah besar.

Persoalannya lagi mengapa Majlis Peguam memberi perhatian keterlaluan kepada isu-isu sensitif menyentuh kepentingan umat Islam dan Melayu?

Awang – Bimbang ledakan emosi.


Puteri minta pertimbang sensitiviti orang Islam

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum Memeluk Islam hanya akan mengundang reaksi negatif masyarakat berbilang agama di negara ini.

Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, perbincangan satu pihak ke atas agama pihak lain boleh membawa suasana kurang senang dalam masyarakat.

Malah katanya, perkara yang ingin dibincang dalam forum itu juga sebenarnya sudah jelas kedudukannya dan tidak perlu dipersoalkan lagi.

"Perkara ini telah tertakluk dalam bidang kuasa majlis agama Islam negeri-negeri. Maka tidak perlu untuk Majlis Peguam campur tangan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata, Majlis Peguam perlu bersifat terbuka dan mendengar keluhan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahukan forum itu dihentikan.

Katanya, adalah dikhuatiri akan ada pihak lain pula mula menganjurkan forum yang mungkin menyentuh sensitiviti masyarakat bukan Islam pula pada masa hadapan.

"Umpamanya, bila kita persoal perkara sensitif, pasti ada kecenderungan pihak lain untuk turut mempersoalkan kita pula," katanya.

Justeru beliau menyarankan kepada Majlis Peguam agar mengambil tindakan yang wajar memandangkan penganjuran forum itu mendapat tentangan banyak pihak.

Forum pada 9 Ogos itu dijangka menyentuh peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam yang menetapkan Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.

Forum itu juga akan membincangkan keperluan mengkaji semula beberapa kes berkaitan pertukaran agama di negara ini.


Nik Aziz persoal sikap Majlis Peguam

KOTA BHARU 7 Ogos - Majlis Peguam tidak wajar meneruskan forum Memeluk Islam kerana mereka tidak mempunyai alasan yang kukuh, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang turut mempersoalkan tindakan Majlis Peguam yang berkeras mahu menganjurkan forum awam Memeluk Islam berkata, program seumpamanya tidak wajar ia terus dilaksanakan.

"Saya tidak faham mengapa dia (Majlis Peguam) nak anjurkan forum ini, apa tujuannya kerana telah berjuta-juta manusia di dunia ini memeluk Islam sekian lama, jadi kenapa pula mereka perlu bising sekarang.

"Saya lebih setuju jika dibuat satu forum khas tentang mana yang lebih baik dan logik antara agama Islam dan agama lain. Ini lebih baik dan bermanfaat," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Perbadanan Menteri Besar Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Majlis Peguam yang akan terus menganjurkan forum berkenaan Sabtu ini.

Pelbagai pihak hari ini dilaporkan mendesak supaya forum itu dibatalkan kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam.

Sementara itu, mengulas mengenai pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini, beliau yakin Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memenanginya.

Katanya, sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap Anwar tidak akan terjejas walaupun hari ini beliau telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan liwat.

Beliau berkata, rakyat telah bijak untuk menilai sendiri kebenaran dan kepimpinan Anwar selama ini yang telah terbukti amat berwibawa sehingga dikenali di pentas antarabangsa.


Persatuan Ulama beri amaran

PUTRAJAYA 7 Ogos - Penganjuran forum awam bertajuk Memeluk Islam oleh Majlis Peguam Sabtu ini terus menerima bantahan apabila Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengeluarkan amaran supaya program tersebut dibatalkan.

Setiausaha Agungnya, Dr. Roslan Mohd. Nor menegaskan, forum itu jelas mempunyai agenda untuk mempertikaikan kedudukan Islam seperti mana termaktub dalam Artikel 121 (1A), Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, langkah majlis itu mahu membahaskan hukum-hukum Islam, sistem perundangan dan hak-hak orang Islam dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa merujuk kepada pihak berkuasa serta dikendalikan secara bertanggungjawab pasti akan mencetuskan kekeliruan terhadap Islam.

''PUM berpandangan tindakan berkenaan adalah suatu usaha terancang yang disusun oleh pihak tertentu secara berterusan untuk mempertikaikan hak-hak yang terkandung di dalam Perlembagaan terhadap Islam.

''Sehubungan itu, PUM memberi amaran agar Majlis Peguam menghentikan penganjuran forum berkenaan atau menghadapi tindakan penentangan serius oleh umat Islam di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pelbagai pihak mendesak Majlis Peguam supaya membatalkan penganjuran forum awam bertajuk Memeluk Islam kerana ia dikhuatiri menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Reaksi itu susulan amaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar terhadap Majlis Peguam semalam supaya badan itu tidak 'bermain api' dengan menganjurkan forum awam bertajuk Memeluk Islam pada Sabtu ini.

Forum itu dijangka menyentuh peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam yang menetapkan Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.

Forum itu juga akan membincangkan keperluan untuk mengkaji semula beberapa kes berkaitan pertukaran agama di negara ini.


Pas bantah forum Memeluk Islam

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Pas membantah keras keputusan Majlis Peguam untuk meneruskan penganjuran forum awam bertajuk Memeluk Islam kerana jelas ia boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum di negara ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, usaha Majlis Peguam itu yang hanya bersumberkan kepada fahaman sekular sudah tentu akan terseleweng daripada pemahaman sebenar mengenai Islam.

Keadaan tersebut jika dibiarkan, katanya, akan merugikan negara dan oleh itu demi kestabilan hubungan agama serta kaum, Pas menggesa pihak Majlis Peguam membatalkan forum berkenaan.

''Forum ini jika diteruskan mampu mencetuskan syak wasangka yang akhirnya boleh mengakibatkan berlaku ketegangan hubungan antara penganut Islam dan penganut pelbagai agama dalam negara.

''Sekiranya ini yang berlaku, ia sudah pasti akan menjejaskan keharmonian negara dan akan merugikan semua pihak,'' kata beliau dalam kenyataannya, di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Majlis Peguam untuk meneruskan Forum Memeluk Islam pada 9 Ogos ini meskipun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memberi amaran kepada majlis itu supaya tidak 'bermain api'.

Setiausahanya, Lim Chee Wee berkata, forum tersebut tidak sensitif kerana ia hanya bertujuan untuk mengkaji kesan yang dihadapi pasangan dan anak mereka apabila salah seorang daripada mereka memeluk agama Islam.

Rentetan daripada kenyataan Syed Hamid itu, pelbagai pihak mendesak Majlis Peguam supaya membatalkan penganjuran forum awam bertajuk Memeluk Islam kerana ia dikhuatiri menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Abdul Hadi berkata, Pas mengakui mengenai hak kebebasan bersuara iaitu memberikan jaminan kepada semua pihak untuk berdialog dan berbincang berhubung isu-isu kepentingan umum.

''Namun, ia tidak boleh menyentuh isu-isu berkaitan dengan hak dan kepentingan Islam. Agama Islam adalah sesuatu yang mutlak yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dan dipelihara oleh perlembagaan negeri-negeri,'' katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Islam adalah agama yang menjanjikan kebaikan buat semua pihak dan sehubungan itu, sebarang perbincangan mengenainya perlu melibatkan pihak yang memiliki ilmu dan kuasa.

Kata Abdul Hadi, Islam berdiri berasaskan kepada sumber-sumbernya sendiri dan setiap perbincangan wajib berteraskan sumber ilmu serta hukum yang telah ditetapkan.

''Atas asas ini juga, Pas berpandangan inisiatif Majlis Peguam yang jelas bersumberkan fahaman sekular hanya akan menyebabkan penyelewengan pemahaman terhadap Islam.

''Yang jelas, ia boleh mencetuskan konflik dan akhirnya ketegangan yang tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak,'' katanya.


Jangan anjur program sensitif secara terbuka - Najib

SUBANG 7 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Majlis Peguam tidak wajar menganjurkan forum awam 'Memeluk Islam' Sabtu ini kerana agama merupakan isu sensitif.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program seumpama itu hanya akan menaikkan emosi pihak yang merasakan apa yang dibincangkan bertentangan dengan pendirian mereka.

Sehubungan itu, katanya, Majlis Peguam perlu melihat kembali tindakan mereka menganjurkan forum berkenaan kerana ia sangat sensitif kepada umat Islam.

"Saya tidak fikir sesuai (penganjuran forum memeluk Islam), perkara sensitif seelok-eloknya dibincangkan secara tertutup," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Vista Jet dan pembukaan Operasi Pangkalan Hadapan (FBO) SkyPark Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat dan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Jelas Najib, kerajaan tidak pernah menghalang sebarang bentuk perbincangan kerana ia satu perkara yang sihat, tetapi jika ia membabitkan isu sensitif hendaklah dilakukan secara tertutup.

Ditanya adakah beliau mahukan Majlis Peguam membatalkan terus penganjuran forum itu, Najib menyerahkannya kepada badan berkenaan untuk memutuskan langkah seterusnya.

''Tidak tahulah, mereka (Majlis Peguam) ada fikiran sendiri,'' katanya.

Jumaat lalu, Majlis Peguam mengumumkan ia akan mengadakan satu forum pada 9 Ogos ini mengenai Islam yang akan turut menyentuh Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Forum itu dijangka menyentuh peruntukan Perlembagaan yang menetapkan Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.

Forum itu juga akan membincangkan keperluan untuk mengkaji semula beberapa kes berkaitan pertukaran agama di negara ini.

Gesaan supaya forum itu dibatalkan telah ditimbulkan banyak pihak, tetapi setakat ini, Majlis Peguam masih mengambil ketetapan untuk meneruskannya.

Selain teguran daripada Kementerian Dalam Negeri, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam di negara ini turut meminta agar forum itu dibatalkan.

Namun, Majlis Peguam semalam memberitahu Utusan Malaysia bahawa forum itu akan tetap diteruskan kerana tujuan ia dianjurkan telah disalah tafsir banyak pihak.

Selain forum terbaru ini, Majlis Peguam pada akhir Jun lalu turut menganjurkan satu lagi program bertajuk Kontrak Sosial yang turut mengundang kecaman banyak pihak.

-TMB

No comments: