"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Thursday, September 18, 2008

DI SANA DAN DI SINI

Hari raya akan sampai. Sekali lagi kita akan berhadapan dengan kematian anak-anak muda kita. Angka dan jumlah anak muda kita yang tewas di jalan raya pasti akan bertambah.

Apakah terlintas dihati untuk bertanya kenapa hari ini di IPTA dan di IPTs majoriti warganya ialah pelajar wanita.

Apakah terlintas dihati untukk bertanya kenapa hari ini jumlah wanita melebihi warga lelaki dalam negara kita.

Anak-anak muda lelaki yang akan menjadi warga saban tahun semakin banyak gugur di jalan raya.

Saban tahun juga saya menulis tentang ini – tanpa sudah-sudah. Saya cuba menimbulkan kesedaran bahawa jalan-jalan raya kita hari ini telah menjadi satu tempat merbahaya yang mungkin menyamai Falujjah atau Tebing Gaza.

Saya juga cuba menimbulkan tentang wujudnya pilihan lain sebagai cara untuk kita semua bergerak dari satu daerah ke satu mukim. Saya mencadangkan kemungkinan kita untuk lebih banyak menggunakan pengangkutan awam sebagai pilihan terbaik.

Bergerak pantas ke hadapan menuju ke sana adalah niat dan cita-cita kita semua. Semua kita yang dari sini memang ingin ke sana. Mereka yang di sana pula ingin ke sini. Dalam cita-cita dari sini hendak ke sana dan dari sana hendak ke sini kita lupa untuk melihat ke kiri dan ke kanan.

Bayangkan betapa derasnya pacuan sebuah kereta. Bayangkan betapa pantas sebuah motosikal meluncur maju ke hadapan. Dalam deras laju ini kita terlupa dan terlalai bahawa di sana dan di sini yang kita kejar itu tidak pernah pindah pindah.

Dalam masa harga minyak yang semakin mahal. Dalam suasana ekonomi yang semakin tidak menentu, rasa saya kita semua perlu berfikir kembali. Apakah berbaloi dan masuk akal cara kita bergerak dari sini ke sana. Apakah ini satu-satunya cara yang terbaik untuk bergerak. Apakah ada cara ini yang paling ekonomik untuk kita semua bergerak.

Sistem pengangkutan awam dari kota besar ke kota kecil pada ketika ini agak tersusun. Tetapi dari kota kecil ke pekan dan dari pekan ke kampung-kampung sistem bas kita semakin merosot berbanding dua puluh tahun dahulu. Kerana tidak wujudnya penyambungan sistem bas yang lumayan di pekan-pekan kecil ke kampong-kampong maka tidak dapat tidak warga ‘dipaksa’ bergerak dengan kereta persendirian.

Pada ketika ini budaya kita telah menobatkan kereta sebagai satu ‘berhala’ yang perlu di ‘sembah’. . Budaya moden telah mengalihkan nilai kita dari melihat kereta sebagai alat untuk bergerak. Kini kereta telah dijadikan tanda dan makna untuk menilai harga seorang insan. Nilai inilah yang menjadikan jalan dan lebuh kita sebagai satu wilayah yang merbahaya.

Di jalan-jalan kecil yang bukan lebuh raya, anak-anak muda bermotosikal dan pemboncengnya kini menjadi mangsa utama. Mereka inilah yang akan menjadi statistik yang kita baca seminggu sebelum hari raya atau satu minggu sesudah hari raya. Mereka gugur untuk menjadi berita statistik, tidak lebih dari itu.

Sebenarnya kita tidak perlu memacu liar untuk ke sana. Dalam perjalan dari sini hendak ke sana cuba perhatikanlah rumput-rumput di pinggir jalan. Cuba perhatikan semuncup dan pucuk sembilu. Cuba perhatikan pucuk paku, buluh dan daun keduduk. Liarkan mata untuk melihat ungas dan burung. Amati dan perhatikan daun, ranting, dahan dan banir. Lihat anak-anak air, lopak-lopak berpaya dan aliran sungai.

Semua ‘makhlok-makhlok’ ini sedang melambai-lambai dan memanggil-manggil agar kita perlahankan perjalanan hidup. Hanya mata kita gagal untuk mendengar lambaian mereka..

Juga kita terlupa ke sana yang kita kejar itu akhirnya akan menjadi di sini. Ke sana akan terus di sana.

-Tukar Tiub

1 comment:

Anonymous said...

Sabor jer lah...kita hanya mampu merancang..Dunia dah nak akhir zaman..Wanita lebih ramai dari lelaki..Ajal maut ditangan tuhan..