"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Thursday, November 20, 2008

Pelan Tindakan Tangani Pengangguran Dilancar

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Pelan Tindakan Negara bagi Pengangguran yang dilancarkan hari ini akan membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menangani pengangguran, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata pelan itu merupakan satu langkah persediaan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan dalam kadar pengangguran, kesan daripada krisis ekonomi global, pergantungan terlalu besar kepada pekerja asing, perubahan dalam pasaran tenaga kerja dan meningkatkan daya saing negara dalam pasaran tenaga kerja.

"Dalam perkataan lain, pelan tindakan ini adalah agenda negara yang menyediakan hala tuju dan menetapkan keutamaan bagi bidang pekerjaan di Malaysia," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam pada perasmian persidangan mengenai amalan kerja baik di sini hari ini.

Abdullah berharap pelan tindakan itu akan dilaksanakan dengan segera dan berkesan.

Beliau meminta semua pihak yang berkaitan memberi maklumat balas serta bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi menjamin kejayaan pelan itu.

"Walaupun kita selesa dengan ekonomi kita yang kukuh dan pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan, kita tidak boleh merasakan yang kita akan sentiasa terlindung daripada krisis kewangan global. Tidak dapat tidak, akan ada pekerja yang dihentikan," katanya.

Beliau juga berkata bahawa satu daripada tiga teras utama Bajet 2009 ialah untuk membangunkan modal insan memandangkan daya tahan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa akan datang banyak bergantung kepada usaha melaksanakan keutamaannya dalam membangunkan tenaga kerja.

Abdullah berkata tumpuan kerajaan pada masa ini ialah terhadap program pembangunan kemahiran dan latihan termasuk meningkatkan dan memperbaharui kemahiran pekerja.

"Kita akan menyemai budaya kecemerlangan di semua peringkat tenaga kerja, baik dalam sektor awam atau swasta, ke arah meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global dan untuk menambah pendapatan pekerja agar mereka menikmati taraf hidup lebih baik," kata Perdana Menteri.

Abdullah berkata bahawa komitmen kerajaan terhadap usaha mewujudkan satu tenaga kerja yang benar-benar kompetitif terbukti dengan peruntukan tambahan RM50 juta untuk program pembangunan modal insan dalam pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM7 bilion yang diumumkan baru-baru ini.

Beliau juga berkata langkah untuk menjamin pendapatan munasabah kepada pekerja memerlukan kesungguhan dan komitmen pelbagai institusi berkaitan dan juga individu bagi mencapai matlamatnya.

"Dalam mengejar agenda ini, kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran seperti menangani pengangguran, meningkatkan skim pelindungan sosial secara komprehensif dan membangunkan mekanisme berkesan untuk berdialog," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Sebagai PM, beliau dilihat perihatin dengan masalah yang akan dihadapi kesan daripada krisis ekonomi global yang kian menjelang. Pelan tindakan ini diharap dapat memberi kesan positif terhadap rakyat. Walau bagaimanapun, rakyat juga harus sama-sama berusaha dan jangan terlalu bergantung pada kerajaan...