PETALING JAYA: Kerajaan Selangor mempersoalkan keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang enggan memberikan laporan geoteknikal dan siasatan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) berhubung status keselamatan Bukit Antarabangsa ekoran tragedi tanah runtuh dua minggu lalu.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tindakan agensi tersebut bercanggah dengan apa yang dijanjikan JKR kepada kerajaan negeri ketika sesi dialog bersama dua kumpulan wakil penduduk Ahad lalu.
"Sewaktu kedua-dua dialog itu berlangsung, JKR telah menyatakan persetujuannya untuk memberi laporan tersebut bagi membolehkan kerajaan negeri membuat pengumuman tentang status keselamatan lima kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa dan langkah-langkah susulan yang perlu diambil.
"Bagaimanapun, JKR hari ini memaklumkan bahawa laporan-laporan tersebut tidak akan diserahkan kepada kerajaan negeri.
"Keputusan ini amat mengelirukan dan dikesali kerana ini akan menyulitkan usaha kerajaan negeri membuat keputusan dalam menentukan nasib mangsa kejadian tanah runtuh tersebut secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid berkata, umum mengetahui bahawa hal-hal pengurusan tanah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.
"Justeru, tindakan membelakangkan kerajaan negeri hanya akan merugikan mangsa kejadian tanah runtuh.
"Oleh itu, diharap agensi-agensi kerajaan bersikap lebih profesional dalam mengendalikan hal ini," katanya.
Bagaimanapun kata Khalid, beliau akan mengumumkan langkah-langkah yang perlu diambil sebaik sahaja menerima laporan tersebut dan bersedia mengguna pakai setiap kaedah yang dirasakan perlu.
"Kerajaan negeri juga akan terus memantau keadaan kawasan tanah runtuh itu dan memberi jaminan akan meneruskan usaha bersama dengan agensi-agensi berkaitan supaya nasib mangsa kejadian tanah runtuh ini akan terbela," katanya.
Ahad lalu, Khalid berkata, pihaknya akan membuat pengumuman mengenai status tahap keselamatan kawasan-kawasan sekitar tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa esok.
Katanya, pengumuman itu meliputi sama ada kawasan tersebut selamat untuk dihuni dan penduduk terbabit boleh kembali ke rumah mereka atau pun sebaliknya.
Dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lalu, sebanyak 14 unit banglo telah tertimbus dan turut mengorbankan empat nyawa.
KOMEN PENDUDUK
Sementara itu, penduduk di kawasan tersebut amat berharap laporan yang dikeluarkan esok akan membolehkan mereka kembali semula ke kediaman masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bukit Antarabangsa, Datuk N. Muneandy berkata, walaupun kawasan itu kini bermasalah termasuk keadaan rumah dan jalan yang perlu diperbaiki, namun mereka tetap mahu kembali semula bagi menjalani rutin harian seperti biasa.
"Kita faham keadaan sesetengah rumah yang perlu diperbaiki. Mungkin ada rumah yang penghuninya dibenarkan pulang, mungkin ada yang belum kerana masalah bekalan air.
"Tapi saya difahamkan, Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) akan memastikan masalah bekalan air di kawasan kami diselesaikan sama ada hari ini atau esok," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.
Ketika ditanya kemungkinan hasil laporan menunjukkan mereka tidak dibenarkan pulang ke kediaman masing- masing, Muneandy berkata, beliau berharap perkara itu tidak akan berlaku.
"Taman Bukit Mewah adalah tempat yang selamat kerana kedudukannya agak jauh iaitu kira-kira 500 meter dari tempat tanah runtuh itu," katanya.
Beliau juga menolak cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) supaya kerajaan mengadakan satu akta bagi penyelenggaraan pembangunaan di kawasan lereng bukit seperti yang diamalkan di Hong Kong.
"Kita tidak payah ikut Hong Kong. Kita ada jawatankuasa sendiri dan kita juga ada surat untuk memanggil pakar bagi memastikan kawasan Bukit Antarabangsa ini selamat," katanya.
Muneandy berkata, untuk tujuan itu, tindakan-tindakan awal akan diambil oleh JKR dan tuan punya di kawasan itu.
"Hari-hari kita ada taklimat dengan JKR dan MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) dan kita memang setuju dengan tindakan yang diambil oleh kedua-dua badan itu," katanya.
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment