"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Friday, August 01, 2008

BN Sedia Hadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh

PULAU PINANG, 31 Julai (Bernama) -- Tindakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya sejak tiga penggal lalu memang telah diduga oleh semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.

Rata-rata tidak terkejut dengan pengumuman itu hari ini dan sudah menjangka Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memilih kerusi selamat itu.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata analisis dalaman BN telah meramalkan kira-kira sebulan yang lalu bahawa perkara ini akan berlaku.

Dalam kenyataannya yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini, Koh, yang juga Pemangku Presiden Gerakan, berkata Permatang Pauh memang merupakan kubu kuat Anwar dan isteri beliau telah memenangi kerusi itu pada 2004 walaupun ketika itu populariti BN berada di kemuncaknya.

"Memang telah djangka beliau akan memilih Permatang Pauh.

Kerusi-kerusi lain yang disebut hanya satu taktik untuk mengelirukan. Pilihan raya kecil ini agak sukar bagi BN.

"Kami perlu berjuang dalam pilihan raya kecil ini dengan jujur, secara terhormat dan dengan penuh rendah hati. BN Pulau Pinang perlu melakukan yang terbaik. Hanya dengan cara itu kami akan mendapat penghormatan dan sokongan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim berkata Umno Pulau Pinang percaya pucuk pimpinan Umno akan memilih calon yang sesuai dan terbaik untuk bertanding di kawasan itu.

"Umno Pulau Pinang akan menyokong siapapun yang dicalonkan oleh pucuk pimpinan parti dan kita sentiasa bersiap sedia untuk berkempen di kawasan itu ," katanya.

Beliau berkata peluang untuk calon BN memenangi kerusi itu adalah cerah berikutan rakyat telah sedar bahawa mereka tidak boleh mengharapkan Pakatan Rakyat untuk membela nasib mereka.

"InsyaAllah Umno boleh menang. Rakyat sekarang dah tengok sendiri macam mana Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dan mereka hanya pandai bercakap tetapi tidak membuat kerja," katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MCA Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan berkata parti itu akan menyokong siapa sahaja calon BN yang diletakkan di kawasan itu dan akan menggerakkan jenteranya untuk membantu komponen BN.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti itu akan memberikan sokongan penuh kepada Anwar pada pilihan raya kecil itu kelak.

"Akhirnya Anwar memilih tempat yang sesuai untuk beliau dan sebelum inipun Anwar pernah bertanding di situ.

Bagi saya, di mana sahaja Anwar bertanding, kami akan memberikan sokongan yang padu," kata Ketua Menteri itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah di Pejabat Pilihan Raya Negeri, Ilyani Farha Mohamad berkata pihaknya bersedia untuk mengendalikan proses pilihan raya kecil itu pada bila-bila masa.

Pihaknya kini menunggu arahan daripada ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengatur semua persiapan mengadakan pilihan raya kecil berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayob Yaakob berkata polis sentiasa bersedia untuk mengawal keselamatan dan memastikan proses pilihan raya kecil berjalan lancar dan menasihati semua pihak agar tidak menimbulkan kekacauan.

"Sementara menunggu tarikh pilihan raya itu, kita akan meningkatkan tahap keselamatan, mengemaskan persiapan daripada segi logistik dan sumber manusia pasukan polis yang akan ditugaskan mengawasi pilihan raya kecil itu," katanya.

No comments: