"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Wednesday, November 19, 2008

Impak politik wang, Mahathir ramal Umno, BN kalah teruk?

PETALING JAYA: Dalam siri kritikan mengenai perkembangan dalam Umno, parti yang diterajui selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, kelakuan buruk ahli dan pemimpin Umno kali ini besar kemungkinan menyebabkan Barisan Nasional (BN) dan parti itu kalah.

"Lihat 2008. Ketua-ketua perhubungan Kedah, Perak dan Selangor dapat jadi calon dan dapat menang pun. Tetapi BN dan UMNO kalah di negeri-negeri ini.

"Apabila parti kalah yang menang menjadi pemimpin dalam Umno tidak akan dapat menjadi Menteri Besar, ahli Exco dan sebagainya. Mereka akan bernasib baik jika dapat jadi pembangkang.

"Ramai daripada mereka tidak pun dapat jadi ahli Yang Berhormat. Mereka akan kalah," kata bekas Perdana Menteri dalam tulisan blognya hari ini yang bertajuk "Pencalonan Umno".

Sambil merujuk kepada amalan dan gejala politik wang, isu yang beliau sentuh sejak sebulan lalu, Dr. Mahathir hari ini menambah, dalam pilihan raya umum lalu pengundi-pengundi termasuk ahli dan penyokong setia Umno telah menolak parti itu hanya kerana pucuk pimpinan mereka disebabkan banyak faktor.

"Pada 2008 pengundi termasuk ahli dan penyokong setia Umno telah tolak Umno hanya kerana pucuk pimpinan Umno yang tak mampu memimpin, yang tunduk kepada Singapura, yang tak tahu kenang budi, yang utamakan anak menantu lebih daripada rakyat dan bermacam lagi. Kerana orang ini seorang, pengundi telah dengan berat hati undi parti lawan. Orang ini hanya seorang sahaja tetapi Umno dan BN yang menjadi mangsa," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, kali ini penolakan Umno dan BN oleh majoriti pengundi akan disebabkan mereka - Melayu, Cina dan India - memandang jijik keseluruhan Umno itu sendiri.

"Dengan mengetahui Umno terdiri dan dipimpin oleh perasuah, dengan anggapan bahawa siapa sahaja yang menjadi calon Umno dalam pilihan raya umum ke-13 akan terdiri daripada orang yang telah dicalonkan kerana rasuah, dipilih oleh pemimpin perasuah dari parti yang secara terbuka mengamal rasuah, apakah pengundi akan rela beri undi mereka kepada calon-calon Umno?

"Saya fikir tidak. Mungkin yang dapat nikmat tertentu akan undi BN. Tetapi ramai yang tidak akan undi BN," katanya lagi.

Isu politik wang menjadi perhatian banyak pihak dengan Lembaga Disiplin mendedahkan lebih 900 aduan diterima sepanjang kempen pemilihan parti baru-baru ini.

Dalam tulisannya hari ini, Dr. Mahathir, bekas Presiden Umno menyoal: "Apakah yang akan jadi pada Umno yang sudah kalah?Mungkinkah ia memberi nikmat kepada ahli dan pemimpin-pemimpin Umno? Tentu tidak," katanya lagi.

Beliau menambah, jika tidak hancur, Umno akan menjadi parti yang tidak bermaya, sekali gus tidak akan dapat pejuangkan nasib bangsa, agama dan tanah air.

"Mungkinkah Umno yang lemah ini dipulih semula. Saya tidak fikir UMNO dan BN juga yang telah dirosakkan oleh pucuk kepimpinan Umno pada mulanya dan sekarang oleh lain-lain pemimpin dan juga ahli biasa akan dapat dipulihkan oleh mereka yang telah merosakkannya kerana kelakuan buruk mereka," katanya lagi.

Alternatif disyorkan beliau: jika Umno hendak dipulih semula pemimpin yang telah mengotorkannya sehingga kalah perlu diganti dengan yang dianggap bersih oleh masyarakat dan ahli parti yang tidak tercemar dan masih berpegang kepada prinsip perjuangan parti.

"Soalnya siapakah yang layak? Sama-samalah kita fikir," kata beliau yang menyerahkan pucuk kepimpinan parti dan kerajaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Oktober 2003.

Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika sesi soal jawab dalam majlis dialog bersama beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, Dr Mahathir berkata, semua laporan yang diterimanya berhubung amalan politik wang dalam Umno akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti itu untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan laporan tersebut juga akan diserahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Jika kedua-dua cara itu tidak berhasil, saya akan siarkan senarai nama mereka yang terlibat itu beserta laporan di dalam blog saya," katanya.

Beliau berkata, tindakan yang berani amat diperlukan ketika ini bagi memulihkan imej dan kedudukan Umno yang didakwanya kian tercemar ekoran amalan politik wang yang semakin berleluasa. "Jika kita tidak berani mengambil tindakan, Umno akan hancur. Inilah yang akan menunggu kita kalau keadaan ini berterusan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata amalan politik wang adalah faktor utama yang akan memusnahkan Umno dan struktur keseluruhan parti itu.

Sekiranya tidak dibersihkan, negara perlu bersedia menghadapi keruntuhan kuasa kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Dr Mahathir.

"Apabila mereka menggunakan wang, pandangan pengundi kepada mereka akan lebur. Mereka (pengundi) jijik pada orang macam ini. Pada pilihan raya akan datang sudah tentu yang akan dapat jadi calon ialah mereka yang kalau tak cekap bodek pun, ialah mereka yang cekap memberi wang kepada pihak tertentu supaya mereka dicalon untuk menjadi calon pilihan raya.

"Rakyat akan pandang mereka ini sebagai calon yang terlibat dengan rasuah. Apakah rakyat akan undi kepada calon-calon ini?," katanya.

Dr Mahathir berkata, hanya ahli yang tidak menggunakan akal sahaja akan mengundi calon yang terlibat dengan rasuah.

"Seperti yang saya katakan, undi daripada ahli sahaja tidak memberikan kemenangan kerana undi dari ahli (Umno) itu sedikit. Kita perlukan undi dari pengundi yang bukan ahli Umno tetapi merupakan penyokong setia Umno," katanya.

Rentetan daripada itu, kata beliau, tidak mustahil untuk BN kalah pada pilihan raya ke-13 akan datang jika para pengundi enggan mengundi calon yang terlibat dengan rasuah.

"Itu bukan mustahil. Sebelum pilihan raya umum Mac lepas, kita fikir kita tentu menang di Selangor, Perak dan Pulau Pinang, tentu kita menang di Kedah, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya," katanya.

3 comments:

Anonymous said...

Ini hanya ramalan penasihat politik tak bertauliah. Kita kena ingat bahawa dalam politik macam-macam boleh jadi. Mungkin UMNNO dapat kembali 'fresh' dari segala masalah-masalh yang melanda dan mungkin mereka mendapat sokongan yang padu setelah mereka berubah...

Anonymous said...

Topeng Perak..,
Pada pandangan aku, Tun Mahathir cuba membayangkan ssesuatu yang buruk akan berlaku jika Datuk Seri Najib memengang jawatan no.1 dalam Malaysia.

Ini disebabkan orang yang sedang bertanding keseluruhannya dipercayai terlibat dalam rasuah. Perasuah yang menang bertanding ini bukan saja menjawat jawatan dalam parti tapi mereka juga akan diserapkan dalam kerajaan malaysia.

Apa akan jadi bila perompak diberi kuasa menjaga harta rakyat..? Apakah perompak ini akan menjadi alim atau mereka jadi tikus baiki labu...?

Biarpun Tun Mahathir ni banyak melakukan kezaliman namun pandangan yang diajukan harus diberi perhatian.

Mr Joker said...

Sameon - Tak bertauliah? kalau bekas perdana menteri anda labelkan sebagai tak bertauliah maka siapa pula yang bertauliah?

anda terlebih UMNO dari UMNO maka bila ada pihak yang kritikannya tidak selari dengan UMNO, maka terus sahaja orang itu dilabel sebagai "tak bertauliah" tetapi jika seorang itu kritikannya selari dengan UMNO dia dikira bertauliah hatta orang itu dikaitkan dengan "pembunuhan"...

UMNO rusak kerana orang-orang seperti anda.

Anon - Saya amat-amat bersetuju dengan anda.tiada siapa dapat menafikan kreadibiliti TDM sewaktu dia menjadi PM malaysia dan tiada siapa juga dapat menafikan kezaliman TDM sewaktu dia menjadi PM malaysia.

Walau bagai manapun, teguran TDM amatlah perlu diberi perhatian melainkan kita mahu seorang yang dikaitkan dengan rasuah dan juga pembunuhan menjadi pemimpin besar malaysia.